Pembekal berdepan denda RM1 juta, simpan minyak masak lebih had, kata polis


PADAH menyimpan bekalan minyak masak melebihi had yang dibenarkan, seorang pembekal berusia 41 tahun berdepan berdepan dengan hukuman denda sehingga RM1 juta jika didapati bersalah.

Ketua Polis Perlis Surina Saad berkata bertindak atas maklumat risikan, polis telah menyerbu premis pembekal minyak masak itu di Kampung Baru Padang Besar pada jam 9 pagi tadi.

“Hasil pemeriksaan mendapati pembekal tersebut menyimpan sejumlah 92.16 tan (92,156 kilogram) minyak masak  botol 5 liter, sedangkan jumlah maksimun yang ditetapkan adalah 80 tan (80,000 kilogram),” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis (IPD) Padang Besar, hari ini.

Beliau berkata polis telah merampas 12 tan (12,156 kilogram) minyak masak lebih had yang dibenarkan dianggarkan bernilai RM48,800.

Surina berkata kes disiasat di bawah Peraturan 13 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 10 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan hukuman bagi kesalahan adalah denda maksimun RM1 juta atau penjara tidak melebehi tiga tahun.

Katanya, barang kes dan suspek diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut. – Bernama, 21 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen