Kumpulan pelajar bakal adakan lagi protes inflasi


Elill Easwaran

Protes pelajar menuntut lima perkara daripada kerajaan termasuk pemontongan gaji menteri dan mengekalkan subsidi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai, 2022.

KUMPULAN pelajar akan turun padang sekali lagi Sabtu ini untuk membantah ketidakupayaan kerajaan menangani kenaikan kos sara hidup.

Dalam satu kenyataan, Jawatankuasa Turun yang menganjurkan protes itu berkata mereka akan berhimpun pada pukul 2 petang di kompleks beli-belah Sogo di Kuala Lumpur.

Mereka juga mempunyai lima tuntutan: gaji menteri dipotong, mengekalkan subsidi, mengawal harga barang, mengagihkan bantuan kepada rakyat, dan menyelesaikan isu keselamatan makanan.

“Kami tiada pilihan selain membuat protes agar masalah ini tidak dipandang remeh oleh kerajaan,” kata penganjur.

Kumpulan itu juga berkata sudah 22 hari berlalu sejak Perdana Menteri Ismail Sabri mengumumkan Pasukan Khas Jihad Menangani Inflasi tetapi mereka gagal menangani masalah inflasi yang merupakan isu paling mendesak di negara ini.

“Selain mengunjungi pasar pagi dan kedai runcit, semua anggota pasukan ini yang juga anggota Kabinet tidak mempunyai idea baharu yang berkesan untuk mengawal kenaikan harga barang dan menyalurkan bantuan kepada rakyat,” kata mereka.

Menurutnya lagi, pengumuman perdana menteri untuk menaikan bantuan antara RM50 dan RM100 tidak memadai dengan keterpaksaan rakyat yang terpaksa berpuasa bagi memastikan anak-anak di rumah tidak kelaparan.

Kenyataan itu menambah, di saat rakyat tertekan dengan gaji rendah dan kenaikan harga barang, menteri tetap menerima gaji antara RM64,000 hingga RM90,000 sebulan.

“Ini menunjukkan kebanyakan ahli politik tidak berpijak di bumi nyata.

“Oleh itu, kami tidak mempunyai pilihan selain membantah sekali lagi,” kata kumpulan itu.

Awal bulan ini, kira-kira 200 pelajar dan ahli kumpulan masyarakat sivil hadir ke Pasar Besar di Kuala Lumpur untuk membantah.

Pelajar menuntut pemotongan gaji menteri dan timbalannya, memberi bantuan mencukupi kepada rakyat, mengekalkan subsidi semasa dan tidak mengurangkan sebarang subsidi lain, menyelesaikan isu keselamatan makanan, dan mengawal harga barang dan makanan.

Pertubuhan pelajar kemudian berkata jika kerajaan gagal mendengar tuntutan mereka, satu lagi protes dalam beberapa minggu akan datang akan diadakan.

Bagaimanapun minggu lalu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan dan protes yang tidak mematuhi syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana penganjur himpunan itu, serta peserta yang gagal mematuhi undang-undang.– 21 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen