Polis sahkan laporan pemilik kelab komedi terima ugutan


Papan tanda, pintu masuk bawah serta tangga kelab komedi Crackhouse yang terletak di deretan rumah kedai di Taman Tun Dr Ismail menjadi mangsa vandalisme apabila disimbah cat merah dan hitam. – Gambar Facebook, 20 Julai, 2022.

POLIS mengesahkan menerima laporan daripada pemilik sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail, di Kuala Lumpur, berhubung ugutan yang diterima daripada seorang individu tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata laporan dibuat lelaki itu pada hari ini dan dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden simbahan cat pada kelab komedi itu seperti yang dilaporkan semalam.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Ugutan diterima oleh isteri pengadu daripada seorang lelaki tidak dikenali dan ugutan dituju kepada pengadu dan ia ada kaitan dengan simbahan cat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, sebuah kelab komedi yang menjadi lokasi seorang wanita menanggalkan baju kurung dan tudung ketika membuat persembahan komediri, disimbah cat oleh dua lelaki. – Bernama, 20 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen