Najib perlu undur sebelum indeks rasuah Malaysia lebih buruk


Amin Iskandar

Pengerusi Hisbah Ezam Mohd Nor berkata Najib Razak perlu berundur segera daripada jawatan perdana menteri sebelum indeks persepsi rasuah (CPI) Malaysia menjadi lebih buruk. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2018.

PERDANA Menteri Najib Razak perlu berundur segera sebelum indeks persepsi rasuah (CPI) Malaysia menjadi lebih buruk, kata badan anti rasuah, Hisbah Centre for Reform (Hisbah).

Pengerusi Hisbah Ezam Mohd Nor berkata kejatuhan kedudukan Malaysia dalam CPI dunia pada 2017 tidak “memeranjatkan dan sudah dijangka” disebabkan “tiada seseorang pun dihukum dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Berhad”.

“Najib sering melaungkan mengenai kepentingan negara.

Demi kepentingan negara beliau wajar berundur sekarang sebelum nama baik negara menjadi lebih parah dan Malaysia menjadi ‘pariah state’,” kata Ezam kepada The Malaysian Insight.

Malaysia jatuh ke kedudukan ke-62 dalam CPI dunia pada 2017, jatuh tujuh mata berbanding 2016, menandakan kedudukannya yang terendah sejak indeks Transparency International (TI) bermula pada 1995.

Menurut CPI 2017, negara lain seperti Cuba, Romania, Jordan, Greece, Arab Saudi dan Croatia kini mendahului Malaysia.

Pengerusi TI Malaysia Akhbar Satar berkata hari ini, kegagalan Malaysia untuk menyelesaikan skandal rasuah berskala besar membabitkan 1MDB, Tabung Haji, Felda menjadi antara faktor di sebalik penurunan CPI 2017.

CPI menarafkan 180 negara berdasarkan kepada tahap tanggapan mereka terhadap rasuah dalam sektor awam mengikut kepada kepakaran dan masyarakat perniagaan. Ia menggunakan skala 0 hingga 100 di mana 0 ialah sangat rasuah dan 100 sangat bersih.

Malaysia, sejak skor 52 diperoleh pada 2014, mencatatkan penurunan setiap tahun, melepasi mata pertengahan pada 2016 (49) dan mencecah 47 pada 2017.

Ezam berkata, antara punca kejatuhan kedudukan Malaysia ialah pentadbiran Najib tidak menjawab malah menutup kes-kes besar yang membabitkan kecurian harta negara (al ghulul) dalam skala besar seperti 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

“Satu saja jalan keluar bagi Malaysia menebus maruah yang teruk tercalar ini iaitu pentadbiran Najib mesti ditukar.

“Keberadaan Najib dalam pentadbiran kerajaan dan masih memimpin kerajaan walaupun jelas beliau dan ahli keluarga terbabit sekarang jelas memberi kesan pada Malaysia hingga berada pada kedudukan terburuk dalam indeks persepsi rasuah dalam sejarah TI,” katanya.

Pada 2016, akhbar Wall Street Journal (WSJ) mendedahkan deposit ke dalam akaun bank peribadi Najib berjumlah lebih daripada AS$1 bilion daripada 1MDB.

Ini termasuk deposit AS$681 juta (RM2.6 bilion) yang menurut Najib dan pihak berkuasa Malaysia sebagai sumbangan politik.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagaimanapun berkata hasil siasatan mendapati sumbangan itu adalah daripada penderma dan bukannya 1MDB. – 22 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen