Parlimen lulus RUU Antigangguan Seksual 2021


Chan Kok Leong

DEWAN Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual 2021 selepas lebih enam jam berbahas.

RUU itu adalah suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi suatu hak tebus rugi bagi mana-mana orang yang diganggu secara seksual; penubuhan tribunal bagi antigangguan seksual; menggalakkan kesedaran tentang gangguan seksual dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengannya.

Tribunal yang ditubuh juga boleh memerintah responden membayar pampasan atau ganti rugi yang tidak melebihi RM250,000 bagi apa-apa kehilangan atau kerosakan yang ditanggung oleh pengadu.

Sebarang award yang diperintahkan oleh tribunal bagi antigangguan seksual disifatkan sebagai suatu perintah mahkamah dan ketidakpatuhan apa-apa award yang dibuat oleh tribunal boleh dikenakan penalti jenayah.

Bagaimanapun, semua pendengaran di hadapan tribunal hendaklah tertutup kepada orang awam.

Awal hari ini, perbahasan terganggu selepas ahli Parlimen pembangkang bergaduh mulut dengan wakil rakyat kerajaan berhubung gangguan seksual atau sindiran seksual yang dibuat di dalam Dewan.

Ia bermula selepas Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman mengulas perbahasan Teo Nie Ching (PH-Kulai) semalam selepas beliau bertanya sama ada RUU Antigangguan Seksual akan meliputi ahli Parlimen kerana mereka mempunyai imuniti di Parlimen.

Tajuddin berkata beliau hanya membuat kenyataan tertentu kerana ahli Parlimen wanita DAP berperangai tidak senonoh. – 20 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen