Kerajaan belum cadang perkenal cuti haid, kata timbalan menteri


Chan Kok Leong

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Zailah Mohd Yusoff berkata proses memperkenalkan cuti haid bukan sahaja melibatkan kesejahteraan pekerja wanita tetapi juga memberi implikasi kepada produktiviti dan ekonomi negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2022.

KERAJAAN belum bercadang untuk memperkenalkan cuti haid buat masa ini, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Zailah Mohd Yusoff.

Ini kerana proses memperkenalkan cuti haid bukan sahaja melibatkan kesejahteraan pekerja wanita tetapi juga memberi implikasi kepada produktiviti dan ekonomi negara, katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

“Kementerian berpandangan pengenalan cuti haid memerlukan penelitian dan perbincangan lanjut dengan pihak-pihak berkepentingan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kewangan, kesatuan sekerja dan pertubuhan majikan.

“Buat masa ini terdapat kemudahan cuti sakit dan cuti rehat yang sedia ada yang diperuntukkan oleh majikan kepada pekerja sama ada sektor swasta atau sektor awam,” kata Siti Zailah pada sesi soal jawab lisan.

Beliau juga berkata kerajaan sedang melaksanakan kajian berkenaan cuti haid kepada wanita membabitkan lebih 57,000 responden dan dijangka siap pada Oktober.

Berkenaan isu kemiskinan haid, ahli Parlimen Rantau Panjang itu berkata kajian lanjut perlu dilaksanakan berhubung keperluan pemberian subsidi tuala wanita.

“Ini bagi membolehkan kerajaan mendapat gambaran sebenar isu kemiskinan haid yang dialami golongan wanita khususnya dalam kalangan B40.”

Dapatan kajian itu juga membolehkan satu pendekatan lebih komprehensif dan bersasar diperkenalkan bagi menangani isu kemiskinan haid.

Siti Zailah menjawab soalan dikemukakan Charles Anthony Santiago (PH-Klang) sama ada Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mempunyai rancangan untuk memperkenalkan cuti haid dan subsidi tuala wanita sebagai sebahagian daripada perlindungan sosial untuk wanita daripada keluarga B40. – 20 Julai, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen