Tentera Myanmar lakukan jenayah perang, guna periuk api, kata Amnesty 


Junta tentera Myanmar didakwa melakukan jenayah perang dengan meletakkan periuk api secara skala besar di sekitar kawasan kampung dan kediaman penduduk. – Gambar EPA, 20 Julai, 2022.

JUNTA tentera Myanmar melakukan jenayah perang dengan meletakkan periuk api secara “skala besar” di sekitar kampung yang menjadi lokasi mereka memerangi pejuang anti-rampasan kuasa, kata kumpulan kempen hak asasi Amnesty International hari ini.

Pertempuran telah memusnahkan sebahagian besar negara sejak pergolakan tercetus tahun lalu.

Malah ia turut mencetuskan pertempuran baru dengan kumpulan pemberontak etnik dan pembentukan berpuluh-puluh “Pasukan Pertahanan Rakyat” yang kini memerangi junta.

Semasa lawatan ke negeri Kayah berhampiran sempadan Thailand, penyelidik Amnesty menemu bual mangsa yang terselamat daripada periuk api, pekerja perubatan yang telah merawat mereka dan orang lain yang terlibat dalam operasi pembersihan, kata organisasi itu.

Menurut organisasi itu, pihaknya mempunyai maklumat yang boleh dipercayai bahawa tentera telah menggunakan periuk api di sekurang-kurangnya 20 kampung, termasuk di laluan ke sawah, mengakibatkan kematian dan kecederaan orang awam.

Amnesty juga berkata ia telah mendokumentasikan beberapa kejadian yang mana tentera telah meletakkan periuk api di sekeliling gereja dan di kawasannya.

“Tentera telah meletakkan periuk api di halaman rumah orang ramai, di pintu masuk rumah, dan di luar tandas,” kata Amnesty.

“Dalam sekurang-kurangnya satu kes yang didokumentasikan, tentera memerangkap sebuah tangga rumah dengan alat letupan buatan trip-wire.”

Ahli kumpulan anti-junta cuba untuk mengalihkan periuk api di beberapa kawasan, tetapi kerja itu dilakukan hanya menggunakan tangan dan peralatan asas tanpa sebarang latihan profesional, tambahnya.

“Kami tahu berdasarkan pengalaman pahit bahawa kematian dan kecederaan orang awam akan meningkat dari semasa ke semasa, dan pencemaran meluas telah menghalang orang ramai daripada pulang ke rumah dan tanah ladang mereka,” kata penasihat kanan krisis kumpulan berkenaan, Rawya Rageh.

Myanmar bukan penandatangan konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang melarang penggunaan, pengumpulan atau pembangunan periuk api.

Tenteranya telah berulang kali dituduh melakukan kekejaman dan jenayah perang selama beberapa dekad konflik dalaman.

Keganasan tentera terhadap minoriti Rohingya pada 2017 menyebabkan kira-kira 750,000 orang melarikan diri ke negara jiran Bangladesh, membawa bersama mereka laporan rogol, pembunuhan dan pembakaran. – AFP, 20 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen