Ramai golongan muda alami masalah postur sejak pandemik, kata pakar


Raevathi Supramaniam

Ramai golongan muda menghadapi masalah sakit belakang kerana gaya hidup seperti postur yang buruk atau duduk lama di pejabat. – Gambar chiroacm.org, 20 Julai, 2022.

SEBANYAK 20% golongan muda bertemu pakar kiropraktik untuk merawat sakit belakang sejak pandemik Covid-19 bermula, kata Persatuan Kiropraktik Malaysia (ACM).

Mereka berkata penyakit itu mungkin disebabkan oleh postur badan yang teruk, duduk lama di pejabat dan bekerja dari rumah selain kurang bersenam.

Presiden ACM Newel Tan berkata tinjauan oleh persatuan itu juga menunjukkan pakar kiropraktik di seluruh negara menyaksikan peningkatan 80% mereka yang mendapatkan rawatan kiropraktik sejak permulaan pandemik.

Ini katanya mungkin berpunca daripada postur badan yang teruk, duduk lama di pejabat dan pengurusan kerja dari rumah serta kurang bersenam.

“Lebih 80% pakar kiropraktik menyaksikan sekurang-kurangnya 20% peningkatan bagi pesakit yang mendapatkan rawatan kiropraktik sejak permulaan pandemik,” kata Tan kepada The Malaysian Insight.

“Kira-kira 87% pakar kiropraktik menyaksikan peningkatan dalam golongan dewasa muda yang bekerja (18 hingga 39 tahun) mendapatkan bantuan.”

Daripada jumlah ini, 79% pakar kiropraktik berkata sebanyak 20% bilangan dewasa muda (18 hingga 39 tahun) datang berjumpa pakar, manakala 50% menyaksikan peningkatan sebanyak 30% dalam bilangan pesakit, kata Tan.

ACM mempunyai 376 ahli aktif: 281 ahli biasa, 34 ahli sementara, 14 ahli tidak mengamalkan dan 47 ahli pelajar.

Kebanyakan mereka berada di Lembah Klang (72%), diikuti oleh Johor (7%), Pulau Pinang (6%) dan baki 15% di seluruh negeri lain di Malaysia.

Kiropraktor biasanya melibatkan keadaan yang berkaitan dengan saraf, otot, tulang, sendi dan/atau struktur tisu lembut lain yang berkaitan, kata Tan.

“Sesiapa yang mengalami sakit otot, sendi, tisu lembut atau ketidakselesaan, masalah mobiliti atau sakit sendi kronik boleh mendapatkan bantuan pakar kiropraktik.

“Penjagaan berkala dan pencegahan kecederaan, termasuk penjagaan postur dan atlet atau individu yang aktif secara fizikal yang ingin meningkatkan prestasi juga boleh berjumpa pakar kiropraktik,” kata Tan.

Masalah yang paling biasa dihadapi oleh pesakit ialah sakit pinggang dan leher, katanya.

“Sejak permulaan pandemik, dua aduan paling biasa dihadapi oleh semua pakar kiropraktik yang menyertai tinjauan adalah sakit belakang bawah (40%) dan sakit leher (60%).

“Kebanyakan golongan muda menghadapi masalah ini kerana gaya hidup seperti postur yang buruk atau duduk lama di pejabat.

“Bekerja dari rumah juga cenderung menyaksikan individu bekerja lebih banyak kerana berada di rumah.”

Tan berkata kurang senaman, khususnya yang menguatkan otot postur dan kekurangan kebersihan postur dan pengetahuan juga merupakan faktor penyumbang kepada kedatangan pesakit muda baru-baru ini.

Bagi memulihkan sebarang kesakitan akibat ketidakselesaan, Tan berkata ia bergantung kepada keterukan kes dan tahap pematuhan pesakit dengan rawatan.

“Kebanyakan pesakit yang datang ke pusat kiropraktik untuk memulakan rawatan awal biasanya bermula sekali atau dua kali seminggu, kemudian kekerapan sesi berkurangan apabila keadaan pesakit bertambah baik,” kata Tan.

“Ia memerlukan penilaian progresif,” tambahnya. – 20 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen