Kelab komedi Crackhouse disimbah cat


Papan tanda, pintu masuk bawah serta tangga kelab komedi Crackhouse yang terletak di deretan rumah kedai di Taman Tun Dr Ismail menjadi mangsa vandalisme apabila disimbah cat merah dan hitam. – Gambar Facebook, 19 Julai, 2022.

PREMIS kelab komedi Crackhouse yang dilanda kontroversi berhubung dakwaan menghina agama Islam menjadi mangsa vandalisme hari ini.

The Vibes melaporkan papan tanda, pintu masuk bawah serta tangga kelab yang terletak di deretan rumah kedai di Taman Tun Dr Ismail itu disimbah cat merah dan hitam.

Bank Hong Leong yang terletak di sebelah kelab itu turut terkena tempias apabila papan tandanya turut rosak terkena cat hitam.

Seorang pekerja di bank itu berkata polis sudah datang ke kawasan itu pada awal pagi.

Kelab itu diselubungi kontroversi selepas seorang wanita didakwa menghina Islam kerana persembahan lawak komedinya secara solo.

Siti Nuramira Abdullah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan selepas dikatakan menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan umat Islam dengan persembahannya di kelab itu di Taman Tun Dr Ismail pada 4 Jun lalu.

Beliau berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun jika didapati bersalah.

Pengasas bersama Crackhouse Rizal van Geyzel turut ditahan selepas video beliau menyentuh sensitiviti kaum dan agama menjadi tular.

Beliau berada di dalam tahanan selama satu malam di balai polis Dang Wangi.

Beberapa laporan polis dibuat terhadap Rizal, termasuk satu oleh sayap bersekutu Bersatu yang mendakwa beliau menghina orang Melayu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang menghina agama dan menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat. – 19 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen