Malaysia guna sistem satu saluran Indonesia untuk pekerja asing, kata menteri


Indonesia pada masa ini menguatkuasakan pembekuan sementara pekerja warga Indonesia bagi semua sektor di Malaysia, serta-merta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2022.

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan menggunakan sistem satu saluran One Channel System (OCS) Indonesia bagi membolehkan pekerja warga Indonesia masuk ke Malaysia, kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

“Tidak ada syarat untuk menggunakan mekanisme sedia ada di Indonesia. Tetapi kita bersetuju untuk mengintegrasikan sistem KDN dengan OCS Indonesia,” katanya di Parlimen hari ini.

Beliau turut menafikan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Indonesia berkenaan pekerja asing, sudah dibatalkan.

“Pada 12 Julai, kita umum akan ada kelewatan kerana ada beberapa kekeliruan dengan mekanisme itu. Dan pada 18 Julai, KDN dan Kementerian Sumber Manusia bersetuju untuk menyelaraskannya dengan beberapa agensi,” katanya.

Saravanan menjawab soalan Anthony Loke (Seremban-PH) yang bertanya mengapa kerajaan gagal mematuhi syarat dalam MoU dengan Indonesia hingga menyebabkan pembekuan terhadap import tenaga buruh dari republik itu.

Awal bulan ini, Duta Indonesia ke Malaysia Hermano berkata jabatan imigresen masih terus menggunakan sistem pembantu rumah atas talian, Maid Online (MOS) dalam pengambilan pekerja domestik warga Indonesia, dan itu tidak bertepatan dengan MoU berkenaan.

Susulan itu, Indonesia menguatkuasakan pembekuan sementara pekerja warga Indonesia bagi semua sektor di Malaysia, serta-merta.

Difahamkan surat dihantar ke Kementerian Sumber Manusia memetik berlaku pelanggaran syarat MoU berkenaan pengambilan kerja dna perlindungan pekerja domestik warga Indonesia. – 19 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen