Anak muda perlu berbelanja ikut kemampuan diri, kata Najib 


Yasmin Ramlan

Perdana Menteri Najib Razak berkata beliau tidak bermaksud untuk menghalang rakyat Malaysia meningkatkan kualiti hidup tetapi mereka perlu membuat keputusan yang betul berdasarkan kemampuan mereka.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2018. 

PERDANA Menteri Najib Razak menasihatkan golongan muda negara ini supaya peka dalam membezakan kos sara hidup dan kos gaya hidup dengan berbelanja atas kemampuan sendiri.

Bercakap pada sesi soal jawab di program siaran langsung “Bajet 2018: Bersama rakyat, Kesejahteraan isi rumah” pagi ini, Najib yang juga menteri kewangan turut memberi contoh perbezaan perbelanjaan sekiranya seseorang itu berbelanja di restoran makanan Jepun di hotel terkemuka dan restoran mamak 24 jam.

Najib turut menjawab soalan daripada pengguna media sosial bertanya kepada beliau bagaimana kerajaan mendidik anak muda mengenai kos sara hidup dengan kos gaya hidup.

“Ini ialah gaya hidup. Misalnya kalau kita pergi kedai restoran Jepun di sebuah hotel terkemuka bersedia untuk membayar… RM800 hingga RM1,000 seorang, bergantung kepada apa yang kamu pesan?

“Tapi kalau kamu pergi ke kedai mamak 24 jam berapa kosnya?” soal Najib yang mana ia dijawab oleh pengacara program tersebut yang juga pelakon, Fizo Omar; “RM8.”

Najib kemudian menyebut sebuah restoran Nasi Vanggey di Ipoh yang pilihannya di mana restoran itu menawarkan nasi Vanggey dengan harga lebih murah iaitu RM4.80 sepinggan.

Katanya, kedua-dua pilihan akan membawa kekenyangan kepada individu tersebut, tapi bayaran dikenakan jauh berbeza.

“Dia (Nasi Vanggey di Ipoh) masih lagi kekalkan harga sepinggan Nasi Vanggey RM4.80. Jadi kalau kita beli Nasi Vanggey ia sangat lazat dan cukup dari segi nutrisi. Hanya RM4.80. Kenyang juga.

“Kalau beli di restoran Jepun kamu bayar RM1,000 kenyang juga. Tetapi kenyang nasi Vanggey adalah lebih baik kenyangnya daripada restoran Jepun.

“Kamu ada pilihan,” katanya.

Bagaimanapun, Najib berkata beliau tidak bermaksud untuk menghalang rakyat Malaysia meningkatkan kualiti hidup tetapi mereka perlu membuat keputusan yang betul berdasarkan kemampuan mereka.

“Ini bukan bererti kita tak nak orang kita hidup semakin berkualiti. Ya, sudah pasti kita mengharapkan kemajuan tetapi hidup atas kemampuan anda. Jika kamu hidup atas kemampuan kamu, kamu akan baik-baik saja,” katanya. – 22 Februari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen