Ahli MIC ditahan kes Penjana Kerjaya? Saravanan kata tiada maklumat


Kalidevi Mogan Kumarappa

Menteri Sumber Manusia M Saravanan turut mengesahkan tiada operasi dijalankan agensi anti rasuah di kementeriannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Julai, 2022.

MENTERI Sumber Manusia M Saravanan mendakwa tiada maklumat mengenai penahanan ahli MIC berhubung penyelewengan Program Penjana Kerjaya (Penjana Kerjaya).

Beliau yang juga timbalan presiden MIC turut mengesahkan tiada operasi dijalankan agensi anti rasuah di kementeriannya.

“Tiada operasi dekat sumber manusia. Saya sudah kata semalam yang saya tidak ada laporan tetapi cuma kata sekiranya ada orang MIC kena tangkap jangan kaitkan dengan MIC.

“Setakat ini saya tiada maklumat, siapa kena tangkap siapa belum tangkap sila minta dekat SPRM, saya tiada jawapan,” katanya.

Sehingga ke hari ini, SPRM sudah menahan 42 individu termasuk dua pada hari ini berhubung kes penyelewengan Penjana Kerjaya.

SPRM dilaporkan menyiasat beberapa syarikat dan individu dan menjangka membuat beberapa tangkapan lain selepas menahan 37 individu dalam Op Hire.

Jumaat lalu, seorang kakitangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) antara tiga individu ditahan SPRM selepas dipercayai terlibat menyeleweng RM100 juta dana itu.

Mereka disyaki mengambil kesempatan menggunakan platform program Penjana Kerjaya untuk membuat tuntutan palsu.

Antara yang ditahan terdiri pengarah, pemilik, pengurus dan jurutera melibatkan 26 lelaki dan 11 wanita berusia antara 28 hingga 70 tahun daripada 64 buah syarikat sendirian berhad.

Syarikat itu sepatutnya membuat latihan dan menggaji pekerja dalam bidang industri, namun didapati mengemukakan tuntutan palsu dan menyeleweng dana program berkenaan.

Majikan terlibat dipercayai mengambil data daripada orang luar atau berpakat dengan pembekal latihan untuk membuat tuntutan palsu dengan insentif yang ditawarkan itu.

Kebanyakan pekerja yang dikatakan bekerja dengan majikan berkenaan tidak pernah bekerja di syarikat terbabit.

Program Penjana Kerjaya merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja semasa mendepani cabaran Covid-19 bermula awal tahun 2020.

Program ini dilaksanakan oleh Perkeso bagi tujuan merangsang ekonomi negara dengan mewujudkan pekerjaan baharu, mengekalkan pekerjaan dan meningkatkan kemahiran. – 18 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen