SEORANG peniaga kerugian RM1.02 juta selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memaklumkannya mempunyai tunggakan cukai atas nama syarikat miliknya.
Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata polis menerima laporan kejadian daripada mangsa yang merupakan wanita berusia 50 tahun, semalam.
“Mangsa menerima panggilan sindiket itu pada pertengahan Mei lalu. Mangsa yang terpedaya mengikut arahan dengan membuat pembayaran tunai melalui 23 transaksi menggunakan mesin deposit tunai berjumlah RM900,000 ke dalam 16 akaun berbeza.
“Mangsa turut menyerahkan akses perbankan dalam talian akaun berkenaan kepada pihak sindiket,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa membuat semakan akaun bank miliknya semalam dan mendapati sebanyak tujuh transaksi berjumlah RM122,300 dilakukan tanpa pengetahuannya kepada beberapa pihak tidak dikenali.
“Mangsa syak beliau sudah ditipu,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Bernama, 17 Julai, 2022.
Komen