Rafizi ikrar takkan khianat seperti Azmin


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong

Rafizi Ramli dan Anwar Ibrahim pada Kongres PKR di Shah Alam, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 17 Julai, 2022.

TIMBALAN Presiden PKR Rafizi Ramli memberi jaminan beliau tidak akan mengkhianati parti sepertimana dilakukan bekas penyandang jawatan itu Mohamed Azmin Ali.

Bekas ahli Parlimen Pandan itu berkata, kelantangannya kata-katanya hanyalah untuk memberi ingatan kepada semua pihak tentang perjuangan dan tanggungjawab mereka.

“Saya mungkin lantang tapi saya bukan Azmin Ali. Saya telah buktikan saya tak berminat dengan jawatan menteri atau awam.

“Saya bukan jenis manis di bibir tapi tikam di belakang,” kata Rafizi dalam ucapan penggulungannya di Kongres Nasional PKR ke-16 di Shah Alam, Selangor.

Rafizi menang jawatan timbalan presiden yang kosong selepas Azmin dipecat keahlian kerana terlibat dalam percaturan Langkah Sheraton.

Gerakan politik itu menyebabkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari 2020.

Tegas Rafizi, beliau berharap akan diadili berdasarkan khidmat baktinya kepada PKR dan tidak mempedulikan sekiranya Presiden PKR Anwar Ibrahim tersinggung dengan kritikannya.

“Saya tak julang. Kalau presiden nak kecil hati, silakan. Saya harap saya dihakimi dan diadili dengan usaha, kerja, dengan konsistensi saya sebut beberapa perkara.

“Sebab itu ini janji saya kepada seluruhnya, saya akan terus bercakap macam ini. Mulut saya takkan manis sampai bila-bila. Saya tak pandai cakap berlapik sebab saya berpandangan berbeza.

“Ingatan itu sangat penting kepada kita. Apatah lagi kalau di tempat memikul tanggungjawab, amanah itu untuk kita jaga rakyat dan negara. Kalau salah tergelincir lagi teruk,” katanya. – 17 Julai, 2022.

Menyusul


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen