Waris tak yakin pelaku sebenar serangan MH17 dikenal pasti


Kalidevi Mogan Kumarappa

MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh di Ukraine. Kesemua anak kapal dan penumpang terbunuh. – Gambar AFP, 17 Julai, 2022.

AHLI keluarga mangsa tidak yakin pelaku sebenar serangan ke atas pesawat MH17 akan dikenal pasti dalam prosiding mahkamah di The Hague yang meneliti unsur jenayah dalam tragedi 2014 itu.

Salah seorang waris, Ammar Syarif Mohd Ghafar berkata sememangnya semua ahli keluarga mangsa nahas pesawat itu mengharapkan keadilan dan kebenaran pelaku sebenar kejadian itu.

“Namun, saya tidak pasti sejauh mana kebenaran itu akan betul-betul benar hasil daripada keputusan kes mahkamah yang akan diumumkan nanti.

“Saya sendiri tidak berada di sana untuk menghadiri prosiding sebaliknya kami mendapat maklumat melalui e-mel daripada peguam.

“Yang pasti, kami masih mengharapkan pengadilan sehingga kini meskipun kejadian itu berlaku lapan tahun lalu,” katanya.

Arwah bapanya Mohd Ghafar Abu Bakar seorang penyelia penerbangan Malaysia Airlines dan salah seorang dari 15 anak kapal yang bertugas dalam pesawat membawa 298 nyawa itu.

Kesemuanya terkorban apabila pesawat Boeing 777 itu ditembak jatuh di ruang udara Ukraine, berhampiran sempadan Rusia sewaktu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Serangan itu antara pencetus kepada perang besar di antara Rusia dan Ukraine pada waktu ini, yang menjejaskan ekonomi dan kesejahteraan penduduk seluruh dunia.

Pasukan siasatan bersama tragedi MH17 disertai semua negara yang warganya menjadi mangsa tragedi. – Gambar AFP, 17 Julai, 2022.

Seorang lagi waris, Noraini Mohd Noor juga tidak menjangka keputusan yang jelas kerana pihak terbabit, sama ada Rusia mahupun Ukraine atau puak pemisah tidak mengaku salah secara terbuka.

“Saya sememangnya tidak menjangkakan apa-apa dari prosiding, saya tahu mereka tidak akan mengaku bahawa mereka yang melakukannya.

“Apa lagi yang boleh kita buat jika orang tidak mahu mengaku bahawa mereka bersalah? Tiada apa-apa. Saya tidak boleh berbuat apa-apa. Anda juga tidak boleh berbuat apa-apa,” katanya.

Beliau kehilangan kakaknya, Rahimah seorang kakitangan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia yang bertugas di Geneva.

Kakaknya menaiki pesawat malang tersebut dalam perjalanan pulang ke Malaysia untuk bercuti bersama keluarga.

Siasatan itu disertai Malaysia melalui Kolonel Mohd Sakri Hussin yang menjadi ketua perunding bagi The Dozen Person, pasukan penyiasat khas disertai tentera, polis dan pakar.

Beliau sangsi dengan tuduhan ke atas empat individu militan Rusia yang diheret ke mahkamah untuk pendakwaa atas serangan itu – Igor Girkin, Sergey Dubinsky, Oleg Pulatov.

Sakri hairan kerana bukti utama yang diperolehi dari kawasan serangan itu masih belum diteliti di mahkamah.

“Sehingga kini, maklumat terkandung dalam dua komponen iaitu kotak hitam dan perakam suara MH17 tidak didedahkan kepada umum termasuk justifikasi terperinci bagaimana pesawat itu ditembak.

“Mereka hanya menggunakan penyiasat lapangan serta kesan tembakan dari peluru berpandu saja. Saya lihat ia hanya dengar cakap saja,” katanya.

Ketua Perunding The Dozen Person Kolonel Mohd Sakri Hussin ketika melakukan rundingan bersama kumpulan pemisah untuk membawa pulang kotak hitam dan perakam suara MH17. – Gambar ihsan Kolonel Mohd Sakri Hussin, 17 Julai, 2022.

Berdasarkan bukti diperolehi di kawasan kejadian itu, Sakri mengesyaki Ukraine bertanggungjawab yang menembak peluru berpandu itu ke ruang udara.

Jelasnya, kumpulan pemisah di Donetsk pula di bawah kawalan Ukraine sepenuhnya.

“Donetsk (kumpulan pemisah) tidak boleh sama sekali menggunakan pesawat terbang. Semua aset kumpulan pemisah adalah hasil dari perpisahan dua negara dalam wilayah Ukraine.

“Walaupun kumpulan pemisah dibantu oleh Rusia tetapi tidak bermakna mereka mendapat bantuan 100%,” katanya yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam bidang ketenteraan.

Beliau juga sangsi dengan hasil perbicaraan kerana Malaysia tidak membuat analisis sendiri ke atas kotak hitam tersebut walaupun menjadi pengeluar alat berkenaan untuk Boeing dan Airbus.

Kotak hitam berkenaan sebaliknya dihantar ke Fanbouroge, London.

“Yang saya pasti, prosiding mahkamah ini tidak akan buktikan siapa pelaku sebenar dalam tragedi ini berdasarkan penyiasat lapangan dan kesan tembakan sahaja,” katanya.

Perbicaraan ke atas tiga rakyat Rusia dan seorang rakyat Ukraine itu berakhir pada Jun selepas berlangsung selama dua tahun.

Mahkamah mendapati keempat-empat individu dikaitkan dengan sebutir peluru berpandu, yang ditembak daripada pelancar dari atas sebuah trak ke arah Ukraine.

Pelancar itu kemudian dikembalikan ke sebuah pangkalan tentera Rusia setelah peluru itu menjatuhkan MH17.

Perbicaraan ke atas tiga rakyat Rusia dan seorang rakyat Ukraine itu di The Hague berakhir pada Jun selepas berlangsung selama dua tahun. – Gambar AFP, 17 Julai, 2022.

Menurut laporan media antarabangsa, hakim Hendrik Steenhuis berkata keputusan kes itu akan diumumkan pada akhir November.

Terdahulu pada 2018, pasukan siasatan jenayah antarabangsa diketuai Belanda secara rasmi merumuskan peluru berpandu itu berasal dari sebuah unit ketenteraan antipesawat Rusia.

Pada awal tahun ini, Australia dan Belanda memulakan prosiding perundangan terhadap Rusia di Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa.

Bernama pula melaporkan bahawa Malaysia telah bersetuju untuk turut serta dalam usaha itu dengan Australia dan Belanda.

Sementara itu, kerajaan Malaysia menyatakan komitmen mencari kebenaran, menuntut keadilan dan mengheret individu bertanggungjawab ke mahkamah.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, individu bertanggungjawab perlu dihadapkan kepada prosiding jenayah bebas, terbuka dan telus.

Beliau berkata, Malaysia turut menggesa semua negara dan pihak yang terlibat untuk memberi kerjasama sepenuhnya mengikut Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) 2166 (2014).

“Proses kehakiman yang menyeluruh mesti dilakukan untuk mendapatkan kebertanggungjawaban penjenayah dan menuntut keadilan bagi mangsa serta waris yang terlibat dalam tragedi MH17.

“Mencari kebenaran terhadap nahas yang berlaku akan terus menjadi keutamaan kami,” katanya menerusi kenyataan media. – 17 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen