Khemah besar pembangkang ditembak sebelum dibina, kata penganalisis


Chan Kok Leong

Timbalan presiden PKR Rafizi Ramli dilihat tidak sependapat dengan presiden parti Anwar Ibrahim mengenai idea khemah besar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 16 Julai, 2022.

KETIDAKTENTUAN mengenai konsep ‘khemah besar’ pembangkang mungkin berterusan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata penganalisis politik.

Mengikut perkembangan pada Kongres PKR, ia tidak mungkin dapat dibentuk, jelas mereka.

“Ini adalah titik perbalahan utama dalam blok Pakatan Harapan sekarang,” kata pengarah eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar selepas menonton Kongres PKR ke-16 di Shah Alam hari ini.

“Adakah PKR akan terus berunding dengan parti pembangkang lain atau menutup pintu dan berdepan banyak pertembungan dalam PRU15?” kata pemerhati itu.

Beliau berkata, parti utama Pakatan Harapan, PKR terus bergelut dengan isu itu selepas pandangan dua pemimpin tertingginya menonjolkan perbezaan mereka.

Sejurus selepas ucapan dasar presiden PKR Anwar Ibrahim mengenai usaha untuk mengekalkan pilihan terbuka Pakatan, timbalannya yang baru dipilih Rafizi Ramli memberitahu pemberita akar umbi menolak idea itu.

“Pemilihan parti merumuskan sentimen akar umbi mereka tidak mahu khemah besar,” kata Rafizi selepas ucapan Anwar.

Menurut Hisomuddin dan pengulas politik lain, Pakatan tidak mungkin mengulangi kejayaan mereka pada 2018 jika mereka tidak bekerjasama dengan parti lain berikutan kekalahan teruk dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) secara berturut-turut.

Ketika PRN Melaka dan Johor, Barisan Nasional menang mudah dan menguasai semula dua pertiga DUN selepas Pakatan tewas susulan pertembungan pelbagai penjuru.

Di Johor contohnya, BN mampu memenangi 40 daripada 56 kerusi dengan hanya tambahan 4% undi. Pada pilihan raya 2018, BN hanya menang 16 manakala Pakatan menang 36.

Namun selepas kemunculan gabungan ketiga, Perikatan Nasional, undi pembangkang berpecah dan Pakatan hanya mampu mempertahankan 12 kerusi.

Khemah besar entah ke mana

Prof Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya juga berasakan tidak akan ada khemah besar buat pembangkang.

“Lebih baik buat gabungan besar selepas pilihan raya. Sememangnya, semua pihak menganggap mereka popular dan membuat pelbagai tuntutan, termasuk parti kecil sekalipun.

“Jika begitu, mereka mungkin hanya akan membentuk khemah besar selepas PRU15,” kata pensyarah sains politik itu.

Merujuk kepada apa yang berlaku pada 2020, warga Sarawak itu berkata, kerjasama sebelum pilihan raya tidak bermakna.

“Walaupun Bersatu bertanding dan menang di bawah gabungan Pakatan dan logo PKR, ia berpecah selepas kurang 22 bulan dan menjatuhkan kerajaan,” kata Awang Azman.

“Apakah yang menjamin tidak akan ada ulangan selepas pilihan raya?” katanya.

Pensyarah itu menegaskan parti politik di negara Scandinavia seperti Sweden atau Denmark hanya membentuk kerajaan campuran selepas pilihan raya dan bukannya sebelum itu.

“Biar pemenang pilihan raya akan datang menentukan perkara ini. Ia satu tindakan yang sangat berbahaya apabila parti yang lebih kecil mengetuai kerajaan.

“Seperti bagaimana Bersatu memimpin kerajaan (2018-2020) walaupun PKR mempunyai lebih ramai ahli Parlimen. Apa yang berlaku ketika itu adalah parti yang lebih kecil menumbangkan parti yang lebih besar dengan mengambil ahli Parlimen mereka,” kata Awang Azman. – 16 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen