Ketum mampu jana ekonomi rakyat miskin, kata perwakilan PKR


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong

Seorang perwakilan PKR mencadangkan ketum dijadikan sumber pendapatan rakyat miskin di negara ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 16 Julai, 2022.

PERWAKILAN PKR Perlis Natthavuth Seng mencadangkan supaya tanaman ketum dijadikan sumber ekonomi baharu negara memandangkan ia mampu membantu kumpulan rakyat miskin menjana sumber pendapatan baharu buat mereka.

Berucap ketika sesi perbahasan ucapan dasar presiden PKR di Shah Alam hari ini, Seng mencadangkan dasar baharu perlu dibentuk untuk membolehkan petani mendapatkan hasil daripada tanaman itu.

“Saya bercakap di sini bukan hendak menyokong kegiatan salah tetapi jika kita tidak dapat membantu janganlah menambahkan lagi kesusahan mereka.

“Kerajaan hari ini seumpama, tidak memberi joran untuk memancing malah patahkan lagi joran yang mereka usahakan.

“Jika kerajaan boleh mengeluarkan lesen kasino yang memberi manfaat kepada golongan elit, kerajaan juga harus mencari inisiatif untuk membangun dasar baharu bagi kegiatan ini,” katanya.

Berbanding tanaman getah, Seng berkata, ketum mempunyai nilai ekonomi lebih tinggi dan perlu dieksploitasi bagi memperoleh hasil.

Lebih-lebih lagi katanya, kerajaan Thailand sudah meluluskan penggunaan ketum di negara itu sekali gus membolehkan rakyat menikmati hasil sekiranya ketum boleh dieksport ke luar negara.

“Ramai yang pilih menanam ketum kerana harga ketum melebihi harga getah, ketum RM30 sekilogram, yang mana getah RM2.50 sehingga RM3.50 sahaja sekilogram. Ketum juga mempunyai permintaan yang tinggi, baru-baru ini di negara jiran Thailand sudah membenarkan penggunaan ketum menyebabkan permintaan lagi meningkat.

“Mereka usaha, mereka cari jalan tetapi apa yang mereka hadapi hari ini, kegiatan ini dibanteras habis-habisan oleh pihak berkuasa tetapi bila mereka tidak cukup wang beli makan pihak berkuasa tidak pernah datang bertanya.

“Hari ini kita dapat melihat ketum mempunyai pasaran, ada permintaan, kita boleh eksport ke negara jiran, kenapa kita tidak betulkan dan membantu mereka, bangunkan undang-undang dan polisi bagi menjaga dan mengawal kegiatan ini.

“Siapa yang untung? Rakyat juga,” katanya.

Seng menegaskan, pihaknya akan terus berjuang bagi memastikan tanaman ketum dapat diberikan kebenaran untuk diusahakan.

“Kerajaan harus mengambil serius perkara ini, sudahlah dan cukuplah kita ketinggalan berbanding negara lain di Asia Tengara.

“Saya tidak tahu masa akan datang siapa yang menjadi kerajaan, di sini saya ingin menegaskan saya akan terus berjuang, membantu mereka mengetengahkan perkara ini sehinggalah kita berjaya laksanakan.” – 16 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen