Pelajar IPTA rugi RM18,000 ditipu sindiket tawaran kerja


SEORANG pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mengalami kerugian berjumlah RM18,193.98 selepas ditipu sindiket penawaran kerja menerusi satu platfrom e-dagang yang menjanjikan pulangan komisen dalam masa singkat.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pelajar lelaki berusia 22 tahun itu, semalam.

Beliau berkata, ia bermula apabila pelajar berkenaan tertarik dengan iklan pekerjaan dalam talian di laman sosial yang menggunakan platform e-dagang dan mula berkomunikasi dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp untuk berbincang mengenai pekerjaan itu.

“Pelajar itu diyakinkan yang dia hanya perlu mengeluarkan modal awal untuk pembelian barangan tertentu dan modalnya nanti akan dibayar serta-merta berserta 10% komisen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tertarik dengan tawaran berkenaan, lelaki itu membuat pindahan wang ke tiga akaun bank tempatan yang berbeza seperti arahan pihak sindiket itu.

Bagaimanapun beliau berkata, pelajar itu berasakan dia ditipu selepas pihak berkenaan mengarahkannya membuat bayaran modal tambahan, sedangkan bayaran modal dan komisen terdahulu belum diterima.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Kamarul Zaman berkata, seorang warga emas tempatan mengalami kerugian RM529,300 selepas terpedaya dengan penipuan ‘Macau Scam’, apabila dihubungi seorang lelaki kononnya anggota polis yang mendakwa dia terbabit dengan kegiatan pengubahan wang haram.

Menurut beliau ia bermula apabila bekas pekerja di sebuah syarikat swasta berumur 85 tahun itu dihubungi lelaki berkenaan pada pertengahan Mei lalu yang memaklumkan akaun banknya akan disiasat oleh pihak berkuasa.

“Warga emas itu mengikut arahan lelaki berkenaan dengan memindahkan semua wangnya ke dalam satu akaun bank miliknya yang lain dan seterusnya menyerahkan akses perbankan dalam talian akaun berkenaan kepada lelaki itu.

“Rabu lalu, warga emas itu membuat semakan terhadap akaunnya dan mendapati wang dikeluarkan tanpa pengetahuannya dan dibayar kepada beberapa pihak yang tidak dikenali,” katanya sambil menambah selepas sedar beliau ditipu, mangsa membuat laporan polis Khamis lalu. – Bernama, 16 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen