44 maut bas jatuh di pergunungan Peru


Setakat ini 44 penumpang dilaporkan maut, selepas bas dua tingkat terbabas dan menjunam ke kawasan pergunungan di selatan Peru, semalam. – Gambar AFP, 22 Februari, 2018.

SEKURANG-KURANGNYA 44 penumpang maut, selepas bas dua tingkat yang dinaiki terbabas dan menjunam ke kawasan pergunungan di selatan Peru, semalam.

Bas itu dilaporkan terjunam kira-kira 80 meter di kawasan cerun bergerigi dari Lebuh Raya Pan-Amerika, iaitu lebuh raya utama di Peru, di selatan wilayah Arequipa.

“Ketua Polis Arequipa Jeneral Walter Ortiz mengesahkan 44 mangsa terbunuh,” kata Kementerian Dalam Negeri dalam mesej di akaun Twitternya.

Terdahulu, Ortiz dilaporkan berkata, 45 penumpang menaiki bas berkenaan tetapi Kementerian Dalam Negeri mendakwa jumlah itu tidak sepadan dengan jumlah mangsa yang maut atau cedera.

Bagaimanapun, perkhidmatan bas antara wilayah di Peru sering mengambil dan menurunkan penumpang sepanjang laluan dan ia dipercayai menyebabkan wujud percanggahan pada senarai penumpang asal.

Di sebalik kekeliruan itu, pihak berkuasa tidak mendedahkan jumlah mangsa yang cedera, dan sama ada pemandu adalah antara mangsa terkorban.

Kejadian dipercayai berlaku pada jam 1.30 pagi (waktu tempatan).

Bas dikendalikan oleh Rey Latino itu dilaporkan berlepas dari Chala menuju ke Arequipa kira-kira empat jam sebelum kejadian.

Semua mangsa yang cedera dibawa di hospital di Camana, kira-kira 57km dari lokasi kemalangan berhampiran bandar Ocona.

Presiden Peru Pedro Pablo Kuczynski turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa menerusi akaun Twitter.

“Semua prosedur sudah diaktifkan bagi memberi sokongan segera kepada usaha menyelamat dan memindahkan mangsa ke pusat kesihatan berhampiran,” katanya.

Insiden ini yang kedua terburuk berlaku di Peru, selepas kemalangan pada 2 Januari lalu mengorbankan 52 penumpang bas. – AFP, 22 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen