Akar umbi PKR tolak gagasan khemah besar, kata Rafizi


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong

Akar umbi PKR menolak idea khemah besar dan pemimpin parti perlu pertimbangkan perkara ini, kata Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli. – Gambar The Malaysian Insight oleh Rafizi Ramli, 16 Julai, 2022.

KEPUTUSAN pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), sayap Pemuda dan Wanita menunjukkan akar umbi PKR menolak idea gagasan khemah besar, kata Rafizi Ramli.

Timbalan presiden PKR itu berkata, isu gagasan khemah besar akan diputuskan pimpinan baharu parti, yang mana keputusan pemilihan 20 anggota MPP Pusat akan diketahui esok.

“Daripada keputusan pemilihan setakat ini baik peringkat tertinggi, AMK (Pemuda), dan Wanita semalam nampak sentimen menolak khemah besar kuat dan diterjemahkan pertandingan di peringkat sayap timbalan presiden ke bawah. Kita tengok di MPP nanti.

“Keputusan itu perlu melalui contohnya kepimpinan yang akan dipilih esok, esok akan membariskan 20 MPP baru, dilengkapkan keseluruhan kepimpinan, saya pasti perkara paling utana dibincangkan ialah mekanisma hadapi pilihan raya umum,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ucapan dasar Presiden PKR Anwar Ibrahim yang antara lain menyentuh soal beliau akan tetap menjalin kerjasama dengan pembangkang lain.

Rafizi berkata, pimpinan PKR tidak harus mengetepikan sentimen akar umbi hasil daripada keputusan pemilihan tersebut.

“Kalau sentimen diterjemah mereka tolak khemah besar secara terang-terangan, kalau pimpinan teruskan juga, kalau tak boleh yakinkan penyokong macam mana nak yakinkan pengundi atas pagar. 

“Kita perlu perhalusi setiap usaha cuba membawa parti lain, kumpulan lain bersama, kita perlu lihat apakah ada kesan negatif daripada itu,” kata bekas ahli Parlimen Pandan itu lagi.

Namun Rafizi berkata, pihaknya tiada masalah sekiranya berlaku perbincangan kerjasama politik dengan parti lain tanpa memerlukan mereka menyertai PH.

“Bezanya pendirian saya jelas kita tak boleh lari daripada mengukuhkan PH, itu asas. Kalau ada parti contoh parti tempatan atau parti lain yang ada di tempat tertentu kita boleh bincang tapi tidak sebagai memasuki PH.

“Kita nak bincang kerjasama politik 5, 6 kerusi boleh, tapi ia tak mengubah pendirian PH, kepimpinan baru akan membina meletakkan satu kerangka yang mana perlu dipatuhi pimpinan parti, apabila mewakili parti bila berunding baik diperingkat PH mahupun parti lain.

“Kita akan melalui prosesnya, bezanya saya tetapkan pendirian saya dengan jelas. Saya takkan bersilat, takkan cakap berlapik,” kata Rafizi. – 16 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen