PKR tanding lebih banyak kerusi dalam PRU15, kata setiausaha agung


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong

Sebahagian daripada perwakilan yang hadir pada Kongres Angkatan Muda PKR di Shah Alam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Julai, 2022.

PKR mahu bertanding di lebih banyak kerusi dalam pilihan raya umum akan datang untuk menjadi parti terbesar dan terkuat dalam gabungan pembangkang, kata setiausaha agungnya Saifuddin Nasution.

Saifuddin berkata, hasrat itu dibangkitkan dalam temu rapat pimpinan PKR sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu.

“Temurapat bersetuju PKR akan bertanding semula di semua kerusi Parlimen dan dewan negeri yang telah kita menangi.

“Kita juga bersetuju terus berunding dengan parti sahabat di dalam PH bertujuan menambah lagi kerusi untuk PKR tandingi dengan harapan muncul sebagai parti terbesar dan terkuat,” katanya.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu berkata, PKR menyertai PRU15 untuk menang dan menubuhkan kerajaan dan mengangkat presidennya Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.

“PKR tidak masuk pilihan raya untuk menjadi pembangkang,” tegas Saifuddin dalam ucapan sewaktu merasmikan Kongres Angkatan Muda PKR di Shah Alam.

Dalam sidang medianya selepas itu, Saifuddin berkata sasaran tambahan itu dapat dicapai di kerusi ditandingi dalam PRU14 namun tewas majoriti yang tipis.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bilangan sasaran tambahan kerusi tersebut.

“Tugas PKR menang dan pertahankan 48 kerusi Parlimen sedia ada dan berusaha menambah, tengok kerusi dulu tanding tapi kalah tapi majoriti boleh tampung.

“Ada bilangan jumlah kerusi, ada sasaran jelas di fikiran bilangannya,” kata Saifuddin.

Dalam PRU14, PKR menang 48 kerusi Parlimen dan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Saifuddin menambah, keputusan PKR untuk bertanding di lebih banyak kerusi itu bagaimanapun belum dimaklumkan kepada komponen PH dari Amanah dan DAP.

“Ketetapan itu dilanjutkan dengan sebut PKR akan berunding berusaha tambah kerusi boleh ditandingi, tertakluk perundingan dengan parti sahabat.

“Itu saya anggap sebagai langkah biasa. Parti politik berkembang ada kemajuan berbanding tempoh 15 tahun lalu,” katanya. – 15 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen