Bermusuh lepas pemilihan ancam PKR, kata Saifuddin


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata permusuhan yang berlarutan disebabkan pemilihan baru-baru ini menjadi ancaman terbesar buat parti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Julai, 2022.

CALON yang bertembung dalam pemilihan parti harus berbaik kembali dan tidak terus bermusuhan, kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu berkata, permusuhan yang berlarutan disebabkan pemilihan baru-baru ini menjadi ancaman terbesar buat PKR.

“Ancaman terbesar kepada PKR ialah apabila gagal untuk kembali duduk bersama selepas episod pemilihan. Ini ancaman terbesar sekali.

“Bertanding sudah, berhujah sudah, berkempen sudah, keputusan dicapai, tak boleh duduk bersama.

Ada suatu penyakit dalam hati. Ancaman terbesar kalau kita gagal untuk kembali duduk bersama,”

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan kongres tahunan Angkatan Muda PKR di Shah Alam, pagi tadi.

Katanya, mana-mana individu yang masih gagal bersama walaupun selepas habis pemilihan tanpa sedar membentuk kekuatan peribadi dan mengenepikan kepentingan parti.

“Ketika kita menentang, menyerang dan menolak kewujudan faksi tanpa sedar dalam nafas yang sama kita sebenarnya sedang membentuk fraksi kita sendiri.

“Kita sedang membina empayar politik diri kita sendiri. Kita bukannya membina kekuatan parti,” katanya.

Jelasnya, PKR sebaliknya memerlukan tenaga bersama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai satu pasukan.

“Mahu terus terusan membentuk blok atau fraksi atau memilih untuk bergerak ke hadapan sebagai satu pasukan PKR mempersiapkan parti mendepani PRU15, pilihan di tangan kita,” kata Saifuddin.

Saifuddin tewas dalam pertandingan merebut jawatan timbalan presiden PKR kepada lawannya Rafizi Ramli.

Beliau bagaimanapun berlapang dada dengan keputusan itu, namun mengingatkan calon yang menang agar tidak mengabaikan tanggungjawab.

“Dalam pemilihan 11,000 calon ambil bahagian, maknanya mereka sedia berkhidmat, ambil tanggungjawab, kita dah berkempen bergerak seluruh negara, banyak belanja.

“Hasilnya terpilih dan tidak terpilih termasuk saya, alhamdulillah masih kekal teguh.

“Pesan saya, tak terpilih jangan gundah-gulana ini pemilihan dalam keluarga kita, yang terpilih tunaikan amanah dan kewajiban. Pemilihan ini jangan sampai merobek silaturrahim kita.” – 15 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen