PRESIDEN Sri Lanka tiba di Singapura pada Khamis, ketika penunjuk perasaan yang menyerbu kediamannya menuntut beliau mengotakan janjinya untuk letak jawatan berikutan krisis ekonomi terburuk negara itu sejak merdeka pada 1948.
Presiden Gotabaya Rajapaksa mendarat di republik itu dengan menaiki penerbangan syarikat penerbangan Arab Saudi dari Maldives.
Sebagai presiden, Rajapaksa menikmati imuniti daripada ditangkap, dan beliau dipercayai ingin ke luar negara sebelum berundur bagi mengelak kemungkinan ditahan.
Namun sehingga kini masih tiada pengumuman mengenai peletakan jawatannya, setelah lebih 36 jam meninggalkan negaranya.
Di Colombo, penunjuk perasaan sudah meninggalkan beberapa bangunan kerajaan setelah ditakluki mereka sejak beberapa hari kebelakangan ini, selepas Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe mengarahkan pasukan keselamatan memulihkan keadaan dan mengisytiharkan darurat.
“Kami secara aman berundur dari Istana Presiden, Sekretariat Presiden dan Pejabat Perdana Menteri berkuat kuasa serta-merta, tetapi akan meneruskan perjuangan kami,” kata jurucakap penunjuk perasaan.
Saksi melihat berpuluh-puluh aktivis meninggalkan pejabat Wickremesinghe ketika polis bersenjata dan pasukan keselamatan bergerak masuk.
Rajapaksa, isterinya Ioma dan dua pengawal peribadi dinamakan dalam senarai penumpang Saudi SV788 dari Maldives ke Singapura, seperti yang dilihat oleh AFP.
Beliau dijangka menetap di Singapura untuk beberapa waktu, menurut sumber keselamatan Sri Lanka, sebelum dijangka berpindah ke Emiriah Arab Bersatu.
Bagaimanapun, Singapura berkata Rajapaksa sedang dalam lawatan peribadi dan tidak akan diberikan suaka.
Ratusan ribu orang telah mengunjungi perkarangannya sejak ia dibuka kepada orang ramai selepas beliau melarikan diri dan pengawal keselamatannya berundur.
Menjelang petang Khamis, pintu pagar ditutup dengan pengawal bersenjata ditempatkan di dalam dan di luar.
Terdahulu, pemilik perniagaan Gihan Martyn, 49, menuduh presiden “bermain dengan masa”.
“Dia pengecut,” katanya di luar istana presiden. “Dia jahanamkan negara kita bersama-sama keluarga Rajapaksa. Jadi kita langsung tidak percayakan dia. Kita perlukan kerajaan baharu.” – AFP, 14 Julai, 2022.
Komen