TIMOR Leste memaklumkan kepada Komuniti Sosio-Budaya Asean (ASCC) bahawa negara itu komited, dan sudah bersedia, untuk menjadi anggota Asean.
Menurut Sekretariat Asean, negara itu mengulangi pendiriannya semasa misi mencari fakta ASCC ke Dili pada 6 hingga 8 Julai bagi melihat sendiri keadaan sebenar di lapangan berkenaan isu berkaitan sosiobudaya.
Dalam satu kenyataan disiarkan di laman sesawangnya, Sekretariat itu memaklumkan misi itu diketuai Jawatankuasa Pegawai Kanan ASCC (SOCA), yang dipengerusikan Dr Dy Khamboly dari Kemboja.
“Dengan selesainya misi itu, Laporan Penilaian ASCC akan disediakan untuk pertimbangan SOCA dan penyerahan seterusnya kepada Majlis Penyelarasan Asean,” menurut kenyataan itu.
Delegasi itu terdiri pegawai-pegawai negara anggota SOCA, badan sektor ASCC, Perwakilan Tetap Negara Anggota ke Asean, dan Sekretariat Asean.
Pada mesyuarat itu, para perwakilan memuji kemajuan Timor Leste dalam pembangunan sosiobudaya dan mengalu-alukan penyertaannya dalam aktiviti bukan dasar Asean bagi tujuan pembinaan kapasiti.
Sekretariat Asean juga menegaskan bahawa Komuniti Ekonomi Asean sedang merancang untuk menjalankan misinya pada Julai.
Komuniti Politik-Keselamatan Asean telah menjalankan misi mencari fakta pada September 2019.
Timor Leste secara rasmi memohon menyertai Asean pada Mac 2011. – Bernama, 14 Julai, 2022.
Komen