Isu teknikal pekerja Bangladesh selesai, kata KSM


Elill Easwaran

PELBAGAI isu yang menjejaskan proses pengambilan pekerja Bangladesh telah diselesaikan, kata Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Dalam satu kenyataan, kementerian berkata majikan yang telah membayar yuran pengambilan untuk menggaji pekerja Bangladesh, kini boleh memohon pengesahan di Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur.

“Ini menunjukkan isu teknikal yang dihadapi sebelum ini untuk proses pengambilan pekerja Bangladesh ke negara ini telah ditangani,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Bulan lepas, menteri M. Saravanan berkata 25 syarikat pengambilan dari Bangladesh telah dilantik bagi mengendali dan menjaga kebajikan pekerja.

“Penganugerahan 25 syarikat untuk mengambil pekerja dari Bangladesh dilakukan bagi mengelakkan monopoli serta menjaga kebajikan dan mata pencarian pekerja,” katanya.

Beliau juga menyangkal dakwaan membabitkan penglibatan Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina dalam pemilihan syarikat tersebut, berkata ianya palsu dan tidak berasas.

“Dalam usaha mewujudkan kebolehcapaian yang lebih baik untuk bakal pekerja dan memastikan tadbir urus yang lebih baik dalam proses pengambilan, kementeriannya telah melantik 25 syarikat daripada senarai 1,520 yang disediakan oleh Kementerian Tenaga Manusia Bangladesh. – 14 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen