PASUKAN kecemasan Iran pada Rabu mula mengeluarkan mayat nahas pesawat membawa 66 penumpang yang terhempas di pergunungan Zagros, menurut pihak berkuasa.
Tiada mangsa terselamat ditemui daripada pesawat Aseman Airlines penerbangan EP3704, yang dilaporkan hilang dari radar pada pagi Ahad, kira-kira 45 minit selepas berlepas dari Tehran dalam penerbangan domestik.
Helikopter penyelamat akhirnya menemui pesawat berkenaan yang terhempas pada Selasa di ketinggian 4,000 meter (13,000 kaki) di banjaran Dena.
Namun berikutan altitud yang tinggi dan keadaan cuaca tidak mengizinkan menyebabkan helikopter penyelamat tidak dapat mendarat di lokasi nahas dan kesemua mayat mangsa dipikul oleh anggota pasukan penyelamat ke jalan raya di kaki gunung berkenaan.
“Buat masa ini, kami berdepan dengan ribut salji dan angin sejuk di puncak gunung berkenaan menyebabkan jarak penglihatan terhad,” kata timbalan komander angkatan tentera, Brigadier Jeneral Nozar Nemati kepada stesen televisyen negara itu.
“Kami memutuskan mayat mangsa dibawa turun oleh pasukan komando tentera atau anggota perkhidmatan kecemasan,” katanya.
Mohsen Mehralizadeh yang merupakan gabenor wilayah Esfahan di mana operasi pencarian dijalankan berkata, 32 mayat telah ditemui setakat ini.
Tujuh yang pertama dibawa turun pada pagi Rabu, lapor stesen televisyen negara itu.
Rekahan glasier dan risiko runtuhan salji menjadikan operari berkenaan sangat berbahaya dan memakan masa, kata pihak berkuasa kecemasan. – AFP, 21 Februari, 2018.
Komen