Sri Lanka isytihar darurat selepas presiden cabut lari ke Maldives


Sumber imigresen Sri Lanka memberitahu presiden Gotabaya Rajapaksa bersama isteri dan dua pengawal peribadinya menaiki pesawat tentera, dipercayai ke Maldives selepas berbulan-bulan negara itu dilanda krisis ekonomi paling parah sejak merdeka pada 1948. – Gambar EPA, 13 Julai, 2022.

SRI LANKA mengisytiharkan darurat hari ini ketika beribu-ribu orang mengerumuni pejabat perdana menteri selepas presiden negara itu cabut lari ke Maldives, berikutan bantahan berbulan-bulan yang meluas susulan krisis ekonomi.

Presiden Gotabaya Rajapaksa telah berjanji pada hujung minggu untuk meletakkan jawatan pada Rabu dan membuka jalan bagi “peralihan kuasa secara aman” selepas meninggalkan kediaman rasminya di Colombo sebelum dipecah masuk puluhan ribu penunjuk perasaan.

Sebagai presiden, Rajapaksa menikmati imuniti daripada ditangkap, dan beliau dipercayai ingin ke luar negara sebelum berundur bagi mengelak kemungkinan ditahan.

Beliau, isteri dan dua pengawal peribadinya merupakan empat penumpang di dalam pesawat tentera Antonov-32 yang berlepas dari lapangan terbang antarabangsa utama Sri Lanka, kata sumber imigresen kepada AFP.

Beberapa jam kemudian, tanpa pengumuman rasmi beliau akan berundur, beribu-ribu penunjuk perasaan menyerbu pejabat Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe – yang secara automatik akan menjadi pemangku presiden sekiranya peletakan jawatan – menuntut kedua-duanya melepaskan jawatan.

“Letak jawatanlah Ranil, pergilah Gota,” jerit mereka.

Polis melepaskan gas pemedih mata untuk menahan mereka daripada menceroboh kawasan itu dan pegawai mengisytiharkan darurat di seluruh negara “untuk menangani situasi negara”, kata jurucakap perdana menteri Dinouk Colombage kepada AFP.

Polis mengenakan perintah berkurung tanpa had di seluruh Wilayah Barat, termasuk Colombo, “untuk membendung keadaan”, kata seorang pegawai kanan polis.

Wickremesinghe sendiri telah mengumumkan kesediaannya untuk meletak jawatan jika konsensus dicapai untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Pejabatnya mengesahkan pada Rabu yang Rajapaksa telah meninggalkan negara itu, tetapi berkata ia tidak ada jadual untuk sebarang pengumuman peletakan jawatan.

Proses penggantian presiden boleh mengambil masa antara tiga hari – masa minimum yang diperlukan untuk Parlimen memilih ahlinya bagi memenuhi penggal Rajapaksa, yang berakhir pada November 2024 – dan maksimum 30 hari dibenarkan di bawah undang-undang. – AFP, 13 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen