HEBOH mengenai penerimaan hadiah sepasang kasut mewah oleh menteri besar Johor baru-baru ini yang membuka satu perbahasan menarik dalam kalangan rakyat dan turut mendapat perhatian media massa.
Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 1998: Garis Panduan Pemberian Dan Penerimaan Hadiah Di Dalam Perkhidmatan Awam menjelaskan butiran berkaitan dengan masalah ini termasuk definisi hadiah sebagaimana yang diterima oleh menteri besar Johor.
Di sini saya tidak mahu menghuraikan secara panjang lebar mengenainya kerana dokumen ini boleh dirujuk di laman sesawang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Namun, apa yang wajar dilakukan oleh menteri besar ialah mengisytiharkan penerimaan hadiah itu kepada jabatan dan masyarakat awam.
Persoalannya, adakah beliau telah dinasihatkan untuk berbuat demikian sebelum isu ini pecah dan menjadi bualan rakyat?
Saya juga ingin menyarankan agar budaya seperti ini harus diubah dan dihentikan bertujuan untuk menjaga dan memelihara integriti penjawat awam dan juga jabatan mahupun sesebuah kerajaan.
Hal integriti bukan sahaja memerlukan iltizam politik semata-mata, sebaliknya ia perlu dilihat (nampak) ia dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dimata masyarakat.
Budaya menerima hadiah seperti ini tak sepatutnya dibiarkan apatah lagi dianggap “remeh” atau isu kecil oleh sesetengah pihak.
Kita harus “betulkan yang biasa, dan biasakan yang betul”.
Dalam konsep “good governance”, kerajaan yang mentadbir harus di hadapan dalam melaksanakan dasar-dasar termasuk budaya yang berintegriti atau amanah, bukan buat-buat tak tahu.
Keyakinan rakyat bergantung kepada dasar dan komitmen sesebuah kerajaan yang jujur yang mahu bekerja dan menjalankan amanah serta tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat.
Sekalipun budaya menerima atau memberi hadiah ini sebahagian daripada budaya lama, kita boleh mengelaknya sewaktu seseorang itu memegang sesuatu jawatan awam. Selepas bersara, itu soal lain.
Justeru, saya menyeru kepada semua menteri besar, ketua menteri bukan sahaja mengisytiharkan harta mereka setiap tahun, malah mengisytiharkan segala hadiah yang mereka perolehi dengan butiran yang lengkap agar rakyat meyakini mereka yang memegang kuasa benar-benar bersih dan dilihat bersih. – 13 Julai, 2022.
* Mahdzir Ibrahim, penyelaras Parlimen Parit Sulong Pejuang.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen