Masih ramai ragu-ragu ambil dos penggalak


Elill Easwaran

Rata-rata yang ditemu bual The Malaysian Insight mengambil pendekatan untuk tunggu dan lihat sebelum mengambil suntikan dos penggalak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Julai, 2022.

MASIH ramai yang ragu-ragu untuk mengambil suntikan dos penggalak Covid-19 walaupun kes semakin meningkat sejak minggu lalu.

Rata-rata yang ditemu bual The Malaysian Insight mengambil pendekatan tunggu dan lihat jika situasi bertambah buruk dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Seorang penjaja yang hanya mahu dikenali sebagai Rafiq berkata beliau hanya akan mengambil suntikan dos penggalak jika kerajaan mewajibkannya.

“Walaupun saya tak fikir akan sampai ke tahap itu, tapi kalau kerajaan wajibkan saya kena ambil jugalah.

“Orang yang ambil dos penggalak pun kena jangkit juga, gejalanya sama saja dengan yang tak ambil, jadi apa bezanya?” kata lelaki berusia 32 tahun yang berniaga di Damansara itu.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata seramai tujuh juta rakyat Malaysia masih belum mengambil dos penggalak Covid-19 setakat ini, dan menasihati mereka segera berbuat demikian.

Walaupun suntikan itu tidak diwajibkan, namun ia amat penting memandangkan kes positif Covid-19 kembali menunjukkan peningkatan selain turut membantu berdepan varian baharu wabak itu terutamanya Omicron BA.5 yang lebih mudah menjangkiti, katanya dipetik Bernama.

Berkenaan varian baharu itu, Rafiq berkata beliau tidak begitu kisah mengenainya.

“Nanti abila muncul lagi varian baharu bermakna kita perlu kerap ambil dos penggalak,” ujarnya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin minggu lalu berkata kementeriannya mengesan lima kes subvarian BA.5 menerusi penjujukan genom setakat 30 Jun.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 13 kes sublineage Omicron yang dipantau rapi iaitu enam kes BA.2.12.1; lima kes BA.5; serta dua kes BA.5.2.

Sementara itu, seorang pemandu, Lee Zheng, 41, berkata beliau tidak nampak sebarang keperluan untuk menganbil suntikan dos penggalak.

“Sekali dah ambil kerajaan akan umum ambil lagi dos penggalak, dan seterusnya.

“Saya sudah cukup trauma selepas ambil dos kedua sebab ia menyakitkan dan saya tekad tak mahu lalui lagi situasi sama,” kata Zheng yang berasal dari Ipoh.

Tambahnya, tiada seorang pun ahli keluarganya mengambil suntikan dos penggalak.

“Kami rasa cukuplah dengan dua dos sahaja buat masa ini.”

Sementara itu seorang pembantu pemasaran yang hanya mahu dikenali sebagai Ramesh berkata kerajaan sepatutnya memberi tumpuan kepada orang ramai yang belum menerima vaksin Covid-19.

“Berita kata lebih tujuh juta orang belum ambil dos penggalak tetapi bagaimana dengan yang belum divaksin langsung?

“Itu yang sepatutnya kerajaan tumpu sebab mereka yang paling terdedah kepada virus Covid-19,” katanya kepada The Malaysian Insight. – 13 Julai, 2022.     

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen