SITI Nuramira Abdullah, wanita yang didakwa menghina agama Islam dalam satu persembahan di sebuah kelab komedi di Kuala Lumpur baru-baru ini akan dituduh di mahkamah esok pada jam 9 pagi di Mahkamah Sesyen Cyber, Jalan Duta, Kuala Lumpur, kata polis.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Noorsiah Saaduddin berkata pihak polis mendapat arahan untuk menuduh wanita itu, dan seorang lelaki, di mahkamah selepas kertas siasatan terhadap mereka dirujuk kepada Pejabat peguam Negara hari ini.
“(Polis) mendapat arahan untuk menuduh penama Siti Nuramira binti Abdullah di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan (hina agama).
“Manakala penama Alexander Navin A/L Vijayachandran pula akan dituduh di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (kesalahan salah guna kemudahan telekomunikasi),” katanya dalam satu kenyataan.
Noorsiah juga memaklumkan perintah reman ke atas Siti Nuramira, yang ditahan sejak 10 Julai, dilanjutkan sehari lagi sehingga esok.
Perintah reman terhadap Alexander masih berjalan sehingga esok.
Siti Nuramira ditahan polis pada 9 Julai manakala Alexander sehari kemudian oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Mereka disiasat berhubung rakaman video tidak sampai seminit yang tular di media sosial yang didakwa menghina Islam.
Rakaman menunjukkan seorang wanita berbaju kurung dan bertudung yang memperkenalkan diri sebagai Siti Nuramira, beragama Islam serta hafal 15 juzuk Al-Quran.
Wanita itu kemudian menanggalkan baju kurung dan membuka tudungnya, menunjukkan pakaian sebenarnya yang terdedah dada tanpa lengan serta memakai skirt pendek yang menampakkan sebahagian paha.
Pemilik premis Crackhouse Comedy Club kemudian membuat laporan polis.
Kelab itu disita dan diarah tutup oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sementara siasatan pihak berkuasa sejak 10 Julai.
Dalam satu kenyataan hari ini, pengasas bersama kelab berkenaan dan 15 pelawak menyifatkan tindakan itu keterlaluan dan menggesa mereka dibenarkan beroperasi.
Mereka mendakwa disabotaj oleh pasangan itu yang sengaja melanggar peraturan kelab dan merakamkan persembahan.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan kelab itu ditutup sementara sejak 10 Julai. – 12 Julai, 2022.
Komen