INDONESIA berdepan dengan masalah kebakaran hutan pada Rabu selepas mengeluarkan amaran berhubung kejadian jerebu yang mungkin berlaku akibat kebakaran itu dan menjejaskan negara jiran Singapura dan Malaysia.
Kebakaran tercetus di empat wilayah - Sumatera Selatan, Riau, Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah - menyebabkan pihak berkuasa negara itu mengeluarkan “amaran kecemasan”, satu tangga di bawah amaran yang paling teruk.
Ratusan hektar tanah musnah sejak beberapa minggu lalu dan kerajaan Indonesia kini mengambil langkah untuk meningkatkan usaha memadamkam kebakaran itu.
Kebakaran itu dipercayai dicetuskan oleh petani yang menggunakan api untuk membersihkan tanah bagi tujuan pertanian.
“Kami kini mempersiapkan pesawat untuk melakukan pembenihan awan dan helikopter untuk memadam kebakaran itu,” kata pihak berkuasa agensi bencana Autopo Purwo Nugroho.
Agensi itu akan mengerahkan tentera, pasukan bomba, polis dan sukarelawan untuk membantu memadamkan kebakaran, kata pihak berkuasa.
Kebakaran hutan di kepualuan Sumatera berlaku setiap tahun dan kepulauan Borneo merupakan kawasan paling teruk terjejas terutamanya ketika musim kemarau panjang yang biasanya berlaku pada Januari.
Pada 2015, kebakaran hutan besar berlaku di Indonesia menyebabkan kira-kira 2 juta hektar tanah musnah dan mencetuskan jerebu yang turut menjejaskan Singapura dan Malaysia. – AFP, 21 Februari, 2018.
Komen