Wan Saiful sahkan bukan lagi pengerusi PTPTN


Elill Easwaran

KETUA Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan mengesahkan beliau bukan lagi pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Beliau berkata, PTPTN juga masih belum melantik penggantinya, menambah yang kontraknya telah tamat pada 17 Jun lepas.

“Sepanjang empat tahun di PTPTN, saya berbangga dengan usaha dijalankan terutama berkaitan fokus penyelesaian jangka panjang membabitkan hutang anak muda,” katanya, seperti dipetik Kosmo! Online sebagai berkata.

Wan Saiful juga turut memuat naik hantaran di Facebook menjawab laporan Utusan Malaysia yang mengatakan beliau bukan lagi pengerusi perbadanan itu.

“Seingat saya, memang sudah lama saya sebutkan secara terbuka bahawa hari akhir saya di PTPTN ialah pada 17 Jun 2022.

“Next step, tunggu lah hingga next step itu sampai,” kata Wan Saiful.

Awal hari ini, Utusan Malaysia melaporkan laman web PTPTN tidak lagi menyenaraikan Wan Saiful sebagai pengerusinya.

Beliau dilantik ke jawatan itu ketika kerajaan Pakatan Harapan memerintah pada 2018, ketika partinya Bersatu masih menjadi sebahagian daripada gabungan itu.

Wan Saiful bagaimanapun tidak menjawab desas-desus beliau akan menggantikan bekas menteri Bersatu Zuraida Kamaruddin dalam portfolio Perusahaan Perladangan dan Komoditi, berikutan langkah ahli Parlimen Ampang itu menyertai Parti Bangsa Malaysia.

Bersatu kini dilaporkan sedang melobi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk jawatan kabinet tersebut.

Namun, Ismail Sabri juga belum membuat sebarang keputusan, malah beliau sendiri berdepan tekanan daripada Umno yang menggesa tempat Zuraida itu diganti dengan ahli Parlimen Barisan Nasional. – 12 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen