PUTRAJAYA perlu menyelesaikan kekurangan tenaga buruh dan gangguan pengeluaran dalam sektor minyak sawit sebelum meningkatkan eksport produk minyak sawit, kata Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming.
Bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata, walaupun ekonomi domestik dan global dibuka semula tahun ini, pengeluaran dalam sektor minyak sawit masih belum berjaya kembali ke tahap sebelum pandemik.
Ong memetik anggaran Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA) yang kekurangan tenaga buruh sektor sawit kira-kira seramai 120,000 orang.
“Ia sukar diselesaikan tahun ini berikutan ketidaktentuan berterusan di peringkat kerajaan ke kerajaan antara Malaysia dan Indonesia berhubung dasar yang sepatutnya dilaksanakan untuk melindungi buruh asing di Malaysia, terutamanya dalam sektor perladangan,” Ong berkata dalam satu kenyataan hari ini.
“Kekurangan buruh dalam sektor minyak sawit hanyalah satu contoh kegagalan besar kerajaan untuk mempunyai pendekatan terselaras bagi menangani masalah itu di seluruh kementerian yang berkaitan,” katanya.
Kementerian yang dimaksudkan termasuk Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
“Kegagalan dasar ini merupakan salah satu faktor yang telah menyebabkan kesesakan rantaian bekalan domestik dan gangguan yang juga sebahagiannya menjelaskan peningkatan dalam kos pengeluaran.”
Mengambil contoh janji Malaysia untuk tingkatkan eksport sawit ke Turkiye baru-baru ini, Ong berkata janji itu “palsu” jika isu pengeluaran dalam negeri tidak diuruskan dengan berkesan.
Mengenai tahap pengeluaran yang lebih rendah, Ong memetik data daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang menunjukkan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dari Januari hingga Mei 2022 hanya pada 6.8 juta tan.
Ini, kata Ong, adalah 18.7% kurang daripada tempoh masa yang sama pada 2019, iaitu sebanyak 8.3 juta tan.
“Walaupun harga MSM telah meningkat daripada hanya lebih RM2,000/tan pada 2019 kepada paras tertinggi melebihi RM7,000/tan pada Mei tahun ini, ia telah menurun sejak itu kepada lebih kurang RM4,000.
Tambah Ong kerajaan tidak seharusnya mengambil pendekatan yang sama untuk mengharamkan eksport produk berkaitan minyak sawit bagi “menyelesaikan” kekurangan minyak masak dalam negeri.
“Kita telah melihat kemudaratan akibat larangan eksport ayam di mana syarikat di negara lain terpaksa mencari sumber eksport alternatif sehingga merugikan pengeluar Malaysia.
“Kerajaan sebaliknya perlu mengambil pendekatan yang lebih proaktif ke arah menyelesaikan isu kekurangan buruh dalam sektor minyak sawit dan sektor lain juga.” – 12 Julai, 2022.
Komen