TEMPOH reman seorang lelaki yang disyaki membunuh isteri dan bayinya berusia tiga bulan di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru Isnin lalu, disambung tujuh hari lagi sehingga 18 Julai.
Perintah reman yang berkuat kuasa esok (12 Julai) dikeluarkan oleh penolong kanan pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru Suhaila Shafiuddin hari ini.
Sebelum ini, pencuci kapal berusia 24 tahun itu direman selama seminggu bermula 5 Julai sehingga hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Lelaki itu ditahan pada 4 Julai lalu di kawasan Permas Jaya, beberapa jam selepas mayat dua beranak itu ditemukan di hadapan rumah mereka di Kampung Bakar Batu.
Lelaki berkenaan ditahan ketika menunggang motosikal dalam keadaan berbogel pada jam 2.45 petang dan polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging daripada lelaki itu.
Dua hari lalu, Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat dilaporkan berkata, seramai 11 individu diambil keterangan membabitkan kes pembunuhan itu.
Beliau berkata, siasatan juga masih dijalankan dan polis sedang melengkapkan kertas siasatan. – Bernama, 11 Julai, 2022.
Komen