Kematian 2 tentera kerana cedera akibat pokok tumbang


BEDAH siasat ke atas dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang maut semasa menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Belum, Gerik awal pagi semalam mendapati kematian disebabkan kecederaan akibat pokok tumbang.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata bedah siasat ke atas jasad Mohd Kamal Ramli, 41, dan Muhammad Zaki Johari, 31, selesai dijalankan di unit forensik Hospital Pulau Pinang oleh doktor pakar hospital berkenaan pada jam 10.20 malam tadi.

“Makluman awal daripada anggota kumpulan ronda (RJJ) menyatakan berlaku ribut di kawasan penempatan sub unit dan sebatang pokok tumbang pada kira-kira jam 1 pagi.

“Apabila ribut reda, pemeriksaan dilakukan oleh anggota RJJ dan mendapati pokok menghempap dua anggota,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa kemudian dibawa keluar dari tempat kejadian di kawasan sektor E 3 C, Hutan Belum Gerik dengan menggunakan helikopter milik Tentera Udara Diraja Malaysia sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang.

Semalam, polis mengklasifikasikan kes dua tentera yang maut akibat ditimpa pokok itu sebagai mati mengejut.

Kedua-dua mangsa adalah anggota dari Batalion Kedua, Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD), Kem Sungai Ara, Pulau Pinang. – Bernama, 11 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen