PAS akan raih lebih banyak kerusi dalam PRU15, kata Daim


Jahabar Sadiq Chan Kok Leong

Ramai pengundi Melayu berusia di negeri majoriti Melayu, Kelantan, Kedah, Terengganu dan Pahang menjadi bank undi parti konservatif, kata Daim Zainuddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Julai, 2022.

PAS akan mendapat untung dalam pilihan raya umum akan datang akibat perpecahan dalam Pakatan Harapan (PH) dan juga Barisan Nasional (BN), kata Daim Zainuddin.

Bekas menteri itu memberitahu The Malaysian Insight, beliau juga menjangka parti dalam PH akan kehilangan sebilangan kerusi.

“Pembangkang tidak akan dapat majoriti kerana DAP akan kehilangan sebilangan kerusi sementara PKR akan kalah lebih lagi.

“Bagi Pejuang, saya rasa sudah habis dan begitu juga Bersatu.

“Dan jika kita tidak hati-hati, PAS akan dapat lebih banyak kerusi,” kata bekas menteri kewangan itu di pejabatnya di Menara Ilham dalam satu wawancara.

Katanya, walaupun PH kehilangan kuasa pada 2020, ia masih tidak berubah.

“Malah sehingga hari ini, mereka masih tidak berubah. Pembangkang masih berpecah-belah. Dan ini akan berterusan hingga 10 tahun jika kita tidak hati-hati.”

Jelasnya, perpecahan dalam PH dan Umno akan hanya mendorong pengundi Melayu ke arah PAS.

PH yang terdiri dari PKR, DAP, Amanah dan Upko gagal mencapai persetujuan bagi membentuk gabungan besar pembangkang seperti dalam kempen pilihan raya 2018.

Di satu pihak lagi, pergeseran berlaku di antara Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk mengawal parti itu.

Berbeza dengan parti lain, ideologi Islam dibawa PAS akan menarik orang Melayu kerana apabila berdepan keadaan tidak pasti, golongan pengundi itu lebih terdorong kepada agama, katanya.
 
“Apabila orang Melayu semakin tua, mereka juga mula berfikir tentang Allah dan bagaimana PAS menjadi penyelamat mereka,” kata tokoh Kedah itu.

Ramai pengundi Melayu berusia pula di negeri majoriti Melayu, Kelantan, Kedah, Terengganu dan Pahang yang menjadi bank undi parti konservatif, dan ia hanya akan menguntungkan PAS, jelasnya lagi.

Beliau mengenali PAS sejak tahun 1960-an sewaktu berkecimpung dalam politik ketika menjadi peguam muda dari Kedah.

Katanya perpecahan dalam Pakatan dan Umno akan hanya mendorong pengundi Melayu ke arah PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Julai, 2022.

Namun beliau melihat parti itu sudah berubah selepas mengecap kuasa apabila menyertai pentadbiran Perikatan Nasional.

“Ini bukan PAS yang saya kenal pada tahun 1960-an. Ini PAS yang mahu kuasa kerana mereka sudah mengecap kuasa.

“Saya masih rapat dengan mereka tetapi saya (tolak usaha mereka ambil alih pentadbiran negara). Sebab itu kita perlukan generasi baharu,” katanya yang kini bersara dari perniagaan.

Mengulas mengenai parti lamanya, Umno, Daim melihat parti itu yakin dapat menang lebih separuh dari 165 kerusi di semenanjung Malaysia.

“Sesetengah penganalisis Umno percaya mereka boleh menang hingga 85 kerusi. Tapi itu bermaksud mereka perlukan Sabah dan Sarawak,” katanya. – 11 Julai, 2022.


Bermula July 2018, akses bagi laporan penuh hanya untuk anda yang melanggan. Daftar sekarang dan nikmati satu (1) minggu akses percuma!

Langgan sekarang!


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen