‘Peraturan tidak berguna’ sekat perkembangan akademik, kata sarjana


Alfian Z.M. Tahir

ensyarah terpaksa melalui prosedur sama bagi setiap semester ketika menyiapkan sukatan pelajaran, kata Dr Sharifah Munirah Alatas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Julai, 2022.

KERJA kursus berulang, jam kerja terlalu lama dan birokrasi tidak berasas di peringkat pentadbiran universiti antara “peraturan tidak berguna” perlu dihadapi ahli akademik hampir setiap tahun, kata sarjana.

Sebahagian ahli akademik kanan, termasuk pensyarah muda memberitahu The Malaysian Insight tentang kesukaran perlu mereka hadapi, termasuk dilayan seperti “orang tidak ada otak”.

Dr Sharifah Munirah Alatas, pensyarah kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), membangkitkan beberapa isu tidak berkesudahan membelenggu ahli akademik dan universiti.

“Peraturan tidak berguna yang dipatuhi universiti kita adalah punca terciptanya minda birokrasi,” kata pensyarah pengajian hubungan antarabangsa dan strategik itu.

“Inilah universiti kita; birokrasi, diuruskan secara mikro oleh penjawat awam yang duduk di lembaga universiti dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” katanya.

Anak perempuan kepada pakar sosiologi terkemuka, Syed Hussein Alatas itu berkata pensyarah terpaksa melalui prosedur sama bagi setiap semester ketika menyiapkan sukatan pelajaran.

Katanya, sukatan pelajaran itu kemudian perlu diperiksa dan disahkan oleh ahli akademik lain di peringkat fakulti yang dilantik – secara bergilir, untuk beberapa tahun – untuk jawatan pengurusan ini.

“Ada banyak maklumat kita diarah masukkan dalam sukatan pelajaran, kebanyakannya tidak memberi makna kepada pelajar, dan untuk kami pensyarah juga.

“Kami terpaksa masukkan gabungan jam yang dikira selain dan kod alfanumerik yang mewakili teknikaliti pembelajaran kursus, kaedah pengajaran, jam berhubung, jam belajar sendiri dan jam kredit.

“Pensyarah tidak sepatutnya terbeban setiap semester, untuk masukkan semua maklumat ini bagi setiap sukatan pelajaran. Ia berulang, mengambil masa dan membantutkan minda. Sebaliknya, perlu ada satu proses standard setiap beberapa tahun, untuk mengemas kini keseluruhan proses, menjadikan ia lebih efisien,” katanya.

Sharifah berkata sukatan pelajaran sepatutnya ringkas, pendek dan maklumat komprehensif tentang kursus berkenaan, bagi rujukan mudah sepanjang semester.

Satu lagi isu dibangkitkan ialah “jam masuk”, menyifatkan ia sebagai sistem yang melemahkan semangat.

“Pensyarah tidak sepatutnya dipantau dengan cara begini. Sama juga degan aktiviti intelektual mereka. Ahli akademik dan universiti tidak boleh dilayan seperti eksekutif melapor tugas di tempat kerja,” katanya. – 11 Julai, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen