SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken berkata Washington melihat “tiada tanda-tanda” Russia terlibat dengan diplomat G20 berhubung pencerobohannya ke atas Ukraine selepas Moscow berdepan kritikan bertubi-tubi dalam rundingan di Indonesia.
Diplomat tertinggi Russia Sergei Lavrov menyerbu keluar dari pertemuan dengan menteri luar G20 di pulau peranginan Bali itu selepas Washington dan sekutunya mengecam serangan Moscow ke atas jirannya semasa rundingan tertutup.
“Kami tidak melihat sebarang tanda Russia bersedia untuk terlibat dalam diplomasi yang bermakna,” kata Blinken selepas bertemu rakan sejawatannya dari China, Wang Yi, hari ini.
“Jika ada peluang untuk diplomasi, kami akan merebutnya.”
Lavrov keluar dari sesi pagi pada Jumaat ketika rakan sejawatannya dari Jerman Annalena Baerbock mengkritik pencerobohan itu.
Beliau kemudian meninggalkan sesi petang sebelum Menteri Luar Ukraine Dmytro Kuleba berucap kepada menteri secara maya.
“Terdapat konsensus yang kuat dan Russia dipulaukan banyak kali sejak perang ini bermula,” kata Blinken.
“Malah, Menteri Luar Lavrov meninggalkan mesyuarat awal, mungkin kerana mesej ini sangat jelas.”
Bercakap selepas lima jam perbincangan luar biasa dengan Wang, Blinken berkata beliau mendesak Beijing untuk tidak menyokong pencerobohan itu dan menggesa China menjauhkan diri daripada Kremlin.
Beliau juga mengumumkan Amerika Syarikat akan memberi sokongan kewangan sebanyak AS$360 juta lagi kepada Ukraine, termasuk bekalan makanan, air minuman bersih, penjagaan kesihatan kecemasan dan tempat tinggal.
Pertemuan G20 di Indonesia berlatar belakangkan pertempuran sengit di timur Ukraine serta ketegangan antara Moscow dan negara Barat pada tahap tertinggi dalam beberapa dekad. – AFP, 9 Julai, 2022.
Komen