Protes terhadap kerajaan bukan pengaruh pembangkang, kata mahasiswa


Elill Easwaran

Desakan terhadap kerajaan tidak bermotifkan politik tetapi menuntut keadilan untuk rakyat atas rasa tanggungjawab, kata Demokrat UKM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2022.

PROTES terhadap kerajaan kerana gagal tangani peningkatan kos sara hidup bukan dipengaruhi mana-mana parti pembangkang, kata gerakan mahasiswa.

Jurucakap Demokrat UKM Syed Zuliqbal Syed Abd Halim berkata desakan mereka tidak bermotifkan politik tetapi menuntut keadilan untuk rakyat atas rasa tanggungjawab.

“Kami tidak dipengaruhi mana-mana parti pembangkang.

“Memang ada beberapa sayap mahasiswa parti politik seperti Mahasiswa Keadilan Malaysia dan Mahasiswa Roket dalam gerakan kami, tetapi kami bukan disokong oleh pembangkang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Mengulas isu kos sara hidup, Syed Zuliqbal berkata kerajaan perlukan perubahan dasar yang jelas dalam menangani inflasi, bukan menubuhkan satu lagi pasukan petugas khas.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 29 Jun umum kerajaan menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Pasukan itu dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa, dan dianggotai Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Pelantikan Annuar sebagai pengerusi dipertikai pembangkang, yang berpandangan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi sepatutnya diterajui ahli ekonomi dan bukan menteri komunikasi dan multimedia.

Mengulas lanjut mengenai kos sara hidup, Syed Zuliqbal berkata meski memahami kenaikan harga barang disebabkan oleh inflasi kerajaan memerlukan perancangan yang lebih baik untuk mengatasi isu ini.

“Kami akan terus desak kerajaan. Mungkin melalui protes atau memorandum.

“Kami mahu kerajaan dengar keluh-kesah rakyat,” katanya.

Tambah Syed Zuliqbal, walaupun wujud perbezaan berkenaan isu tertentu dalam Gabungan Gerakan Mahasiswa namun mereka komited untuk memperjuangkan isu kenaikan harga makanan di kampus universiti.

Katanya lagi, mereka bercadang untuk menyerahkan memorandum kepada beberapa wakil rakyat sebelum Parlimen bersidang. – 9 Julai, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen