PERDANA Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha mengucapkan takziah atas kematian bekas perdana menteri Jepun Shinzo Abe.
Jurucakap Kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana berkata Prayuth, bagi pihak kerajaan dan rakyat Thailand mengucapkan takziah kepada keluarga Abe dan kerajaan serta rakyat Jepun atas kehilangan itu.
Beliau berkata Abe banyak menyumbang kepada pembangunan hubungan dua hala antara Thailand dan Jepun.
“Beliau (Abe) seorang yang sangat berkebolehan dan disayangi terutamanya oleh rakyat Jepun.
“Sepanjang lapan tahun menjadi perdana menteri, Abe memainkan peranan penting dalam mempromosikan hubungan dan persahabatan antara Thailand dan Jepun,” kata Prayuth dalam satu kenyataan.
Prayuth berkata lawatan Abe ke Thailand pada 2013 yang juga lawatan rasmi pertama pemimpin Jepun dalam tempoh 11 tahun, telah meletakkan asas kukuh untuk hubungan dua hala dan kerjasama antara kedua-dua negara.
Abe juga penyokong kuat hubungan Asean-Jepun sejak beberapa tahun lalu, katanya.
Bekas perdana menteri itu ditembak ketika sedang berucap dalam satu kempen pilihan raya di bandar raya Nara dan pelakunya sudah ditahan. – Bernama, 9 Julai, 2022.
Komen