Pengguna terpaksa berjimat, lebih bijak tangani kenaikan harga barang


Raevathi Supramaniam Ravin Palanisamy Elill Easwaran Diyana Ibrahim

Pemansuhan subsidi dan harga siling baharu ayam dan telur, menyebabkan peruntukan pengguna untuk makanan meningkat dua kali ganda sejak beberapa bulan lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2022.

RAKYAT Malaysia daripada segenap lapisan masyarakat merasai tekanan inflasi yang melonjakkan harga barangan makanan di pasaran.

Ditambah pula dengan pemansuhan subsidi dan harga siling baharu ayam dan telur, ramai berkata peruntukan mereka untuk makanan meningkat dua kali ganda sejak beberapa bulan lalu.

Mereka yang ditemui The Malaysian Insight bercakap mengenai terpaksa membayar lebih untuk semua jenis bahan makanan, daripada sayur-sayuran, makanan laut, ayam kepada milo, kopi dan juga susu.

Justeru, pengguna juga perlu lebih bijak tidak membeli barang semua barang diperlukan di pasar raya tertentu sahaja, sebaliknya pasar basah atau kedai runcit seperti sebelum ini.

Malah ada yang terpaksa melupakan hasrat membeli barang yang pernah dibeli sebelum ini kerana tidak mampu lagi berbuat demikian.

Walaupun kos sara hidup terus meningkat, mereka bersetuju gaji masih tidak berubah, menyebabkan mereka terpaksa berjimat. 

Walaupun kebanyakan bersetuju yang mereka membelanjakan lebih banyak untuk barangan runcit, sebahagian kecil masyarakat tidak melihat perubahan dalam perbelanjaan mereka.

Pengguna yang ditemui di Pasar Taman Tun Dr Ismail berkata mereka tidak berbelanja lebih daripada biasa.

Seorang lelaki, apabila didekati berkata tidak pasti sama ada beliau tidak berbelanja lebih, kerana hanya membeli mengikut senarai barangan yang disediakan isterinya.

Seorang lagi wanita yang berada di sana untuk membeli ikon tongkol berkata beliau masih membayar RM30 untuk dua ketul ikan seperti sebelum ini. Beliau juga mengaku ikan itu adalah untuk kucingnya.

Seorang wanita warga emas yang membelanjakan RM300 untuk membeli daging lembu bagi sambutan Hari Raya Haji berkata beliau menyedari kosnya agak mahal, tetapi tidak dapat berkongsi jumlah perbelanjaannya, sambil menambah beliau biasanya membeli-belah di pasar raya TMC di Bangsar, yang dapati lebih murah.

Inflasi Malaysia, seperti diukur oleh indeks harga pengguna (CPI), meningkat 2.8% pada Mei 2022 berbanding tahun sebelumnya, berpunca oleh kenaikan harga makanan sebanyak 5.2%, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 24 Jun.

Kenaikan CPI negara meningkat kepada 2.8% pada Mei 2022 daripada kenaikan 2.3% tahun ke tahun pada April 2022.

Antara kumpulan makanan, komponen daging IHP menunjukkan peningkatan tertinggi sebanyak 9.5% pada Mei 2022 berikutan peningkatan permintaan semasa musim perayaan.

Ini diikuti dengan sayur-sayuran (8.1%); susu, keju & ​​telur (8%); ikan & makanan laut (4.3%); dan minyak & lemak (3.7%). Sementara itu, kenaikan (harga) yang ketara bagi makanan di luar rumah boleh dilihat bagi nasi berlauk (8.3%), roti canai (7.8%), makanan berasaskan mee (5.7%), dan ayam masak (5.1%).

Berkuat kuasa 1 Julai, subsidi minyak masak dalam botol dimansuhkan manakala kerajaan juga menetapkan harga siling baharu ayam pada RM9.40, naik 50 sen daripada RM8.90.

Manakala telur ayam gred A pada harga 45 sen sebiji, gred B (43 sen) dan gred C (41 sen).

Thawil Azhar, 58.

Ketika ditemui di luar pasar basah Chow Kit di Kuala Lumpur, pemilik gerai makan itu penuh dengan barangan runcit yang dibelinya untuk berniaga dan kegunaan sendiri.

Beliau membeli-belah di pasar basah setiap hari untuk membeli bahan mentah dan menyedari perlu membelanjakan lebih banyak untuk membeli barangan yang sama.

“Dulu saya membelanjakan RM300 setiap hari, kini RM400 tetapi saya hanya menaikkan harga makanan saya sebanyak 10 hingga 50 sen,” kata Thawil.

“Semua orang menghadapi masa sukar sekarang, jadi saya tidak mampu untuk mengenakan bayaran lebih atau orang akan kelaparan, jadi kita perlu memahami.”

Secara purata beliau kini membelanjakan RM3,000 sebulan untuk barangan runcit berbanding RM2,000 sebelum ini.

Faktor yang menjadi kebimbangan utamanya ialah minyak masak botol 5kg, yang beliau perlu gunakan lima hingga enam botol seminggu.

“Dulu harganya RM13, kemudian naik kepada RM28 dan sekarang RM42. Yang lain pun dah naik termasuk milo, Nescafe, susu pekat dan juga tepung.

“Hanya gula belum naik harga. Bagi daging dan makanan laut, harganya turun naik, tetapi sayur-sayuran kini mahal. 1kg kacang panjang dulu berharga RM4.50, kini RM8 hingga RM12.”

Bapa kepada empat anak itu berkata walaupun menjalankan perniagaan, beliau hampir tidak pulang modal.

“Keutamaan saya hanya memastikan saya mempunyai wang mencukupi untuk menghantar anak ke sekolah. Walaupun saya tidak dapat menyimpan wang, tak apa.”

Preshant Menom berkata peruntukannya untuk makanan naik kepada RM700 sebulan. – Gambar The Malaysian Insight, 9 Julai, 2022.

Preshant Menon, 27.

Preshant, yang bekerja dalam pengurusan acara, memberitahu The Malaysian Insight yang perbelanjaannya meningkat kepada RM700 sebulan.

Beliau biasanya membeli dari pasar raya mewah seperti Jaya Grocer dan Ben’s Independent Grocer, dan tidak bercadang untuk membeli-belah di tempat lebih murah seperti Lotus atau Aeon kerana tempat itu “terlalu sesak”.

“Saya pernah membelanjakan sekitar RM300 hingga RM450 sebulan tetapi kini naik kepada RM600 hingga RM700,” kata Preshant, yang tinggal di Subang Jaya.

“Saya bimbang kerana jika ekonomi semasa berterusan seperti ini, saya pasti harga akan terus meningkat.

“Daripada berbelanja RM600 sebulan, saya boleh naik kepada RM1,000 sebulan jika keadaan tidak menjadi lebih baik,” katanya.

Shahrol Roaslan, 32.

Shahrol, seorang ahli perniagaan sebelum ini membelanjakan RM600 hingga RM700 sebulan untuk membeli barangan runcit termasuk lampin bayi, tetapi kini  perbelanjaannya meningkat menyebabkan beliau mengurangkan perbelanjaan barangan.

Beliau biasanya membeli-belah di pasar raya atau kedai runcit jika memerlukan barangan dengan segera.

“Saya akan membeli barang dalam kuantiti yang lebih sedikit dan mencari barangan ada diskaun atau promosi,” katanya.

“Jadi, walaupun saya menjangkakan untuk mengekalkan perbelanjaan bulanan saya kepada RM600, saya tidak akan dapat apa yang saya beli dahulu.”

Sebotol minyak masak dan 10 biji telur sahaja sudah RM50, katanya.

Masalahnya beliau tidak boleh mengurangkan susu formula dan lampin bayi.

“Apabila saya membeli-belah, saya perlu berkira, lebih waspada dan perlu mencari tempat yang menawarkan promosi.” – 9 Julai, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen