KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengenal pasti 14 kontak kasual kepada rakyat Malaysia yang menetap di Singapura yang disahkan dijangkiti cacar monyet, kata Khairy Jamaluddin.
Kesemua mereka berisiko rendah mendapat jangkitan daripada lelaki berusia 45 tahun itu kerana tidak bergejala, tambah menteri kesihatan.
“Seorang kontak rapat dikenal pasti pihak berkuasa kesihatan Singapura dan kini dikuarantin di negara berkenaan,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Tambahnya, rakyat Malaysia yang dijangkiti cacar monyet itu berada di Johor Bahru pada 11 dan 12 Jun lalu sebelum melancong ke Pulau Pinang pada 17 hingga 20 Jun.
Lelaki tersebut tidak menunjukkan sebarang gejala ketika itu.
“Pada 2 Julai dan 3 Julai, beliau sekali lagi ke Johor Bahru, pada masa itu lelaki ini dah ada gejala,” jelas Khairy.
Lelaki berkenaan disahkan dijangkiti cacar monyet pada 6 Julai.
Menteri kesihatan itu juga mengesahkan tiada kes cacar monyet dilaporkan di Malaysia setakat ini. – 8 Julai, 2022.
Komen