Subvarian Omicron BA.5 dikesan di Malaysia, kata Khairy


Ravin Palanisamy

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata peningkatankes harian Covid-19 akhir-akhir ini disebabkan penularan subvarian Omicron BA.5 yang paling mudah merebak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2022.

PENINGKATAN kes harian Covid-19 akhir-akhir ini disebabkan penularan subvarian Omicron BA.5 yang paling mudah merebak telah dikesan di negara ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Kemungkinan besar varian BA.5 sudah merebak dengan luas di Malaysia.

“Kalau kita lihat dari segi epidemiologi di negara-negara lain BA.5 lah yang menjadi sublineage utama yang memberi kesan kepada peningkatan kes di peringkat global.

“Dan kita menjangkakan BA.5 akan terus meningkatkan jumlah kes harian di Malaysia,” katanya pada sidang media media di bangunan Parlimen hari ini.

Menurutnya, berdasarkan penjujukan genom ke atas kes-kes positif antara antara sekatakt 30 Jun lalu sebanyak 13 kes membabitkan sub varian Omicron yang sedang dipantau rapi.

Daripada jumlah itu, enam kes adalah varian BA.2.12.1, dua kes varian BA.5 dan lima kes varian BA.5.2, jelas Khairy.

“Setakat ini tidak ada kes BA.4,” katanya.

Menteri kesihatan itu seterusnya berkata individu yang sudah melengkapkan vaksinasi Covid-19 atau dijangkiti virus itu sebelum ini lebih berkemungkinan untuk dijangkiti semula dengan varian BA.5.

Ini mengakibatkan peningkatan kemasukan ke hospital di negara-negara seperti Singapura, Portugal, United Kingdom dan lain-lain, katanya.

Khairy bagaimanapun berkata gelombang membabitkan varian BA.5 tidak seteruk gelombang Omicron sebelum ini.

“Saya dimaklumkan oleh pakar penyakit berjangkit, kemungkinan besar keterukan kes BA.5 ini tidak lebih teruk daripada gelombang Omicron yang asal. Kita jangka keterukannya lebih kurang sama dengan varian Omicron yang awal,” katanya.

KKM juga katanya menjangkakan kes akan meningkat dalam tempoh satu atau dua bulan atau maksimum tiga bulan berdasarkan pengalaman menghadapi gelombang Omicron sebelum ini. – 8 Julai, 2022.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen