PAS menafikan Perikatan Nasional (PN) membentuk perjanjian dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berhubung pelantikan timbalan perdana menteri seperti didakwa Muhyiddin Yassin.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang menjelaskan perbincangan mengenai pelantikan jawatan itu dibuat sebelum ini namun ia berakhir tanpa keputusan.
“Kita masih lagi berpegang (kepada keputusan sewaktu) awal-awal kita tubuh kerajaan tak ada timbalan perdana menteri.
“Perbincangan ada sebelum ini tapi tak ada keputusan sebab kita masih sibuk dengan urusan rakyat,” katanya kepada pemberita di Marang, Terengganu.
Tegasnya, PAS berpendirian jawatan timbalan perdana menteri tidak perlu diisi memandangkan pilihan raya umum bakal diadakan pada bila-bila masa.
Hadi mengulas kenyataan Muhyiddin mengenai perjanjian PN susulan pertemuan presiden Bersatu itu dengan perdana menteri pada minggu lepas.
Menurut Muhyiddin, perbincangan dengan perdana menteri itu mengenai rombakan kabinet termasuk pelantikan timbalan perdana menteri.
Dakwanya, perbincangan itu selaras dengan perjanjian PN dengan Ismail Sabri ketika parti itu memberikan sokongan kepada naib presiden Umno itu untuk menjadi perdana menteri.
“Yang kita bincangkan bukan sahaja isu kekosongan (menteri) tetapi pelantikan baharu sepertimana terkandung dalam perjanjian PN bersama perdana menteri,” kata Muhyiddin. – Bernama, 8 Julai, 2022.
Komen