4 lelaki disyaki ahli kongsi gelap edar dadah ditahan 


POLIS menahan empat lelaki disyaki ahli kongsi gelap dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM1.06 juta dalam tiga serbuan sekitar bandar raya menerusi Op Katia sejak Selasa lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata Selasa lepas, susulan penahanan lelaki pertama di kawasan tempat letak kereta di sebuah kondominum di Jalan Bukit Segambut dekat Kuala Lumpur pada 6.30 petang, polis menahan seorang lagi lelaki di kawasan tempat letak kereta sebuah kompleks membeli belah di Dutamas di Kuala Lumpur.

Katanya dua lagi lelaki di tahan di sebuah unit kondominium di Ampang, dan polis turut merampas sepucuk pistol jenis revolver bersama sembilan butir peluru hidup daripada mereka.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini beliau berkata, hasil serbuan dan penahanan empat lelaki yang berumur 26 hingga 31 tahun itu, polis berjaya merampas 152.16 kilogram (kg) dadah jenis ganja, 15.12 kg syabu, 785 gram heroin dan 3000 biji pil ekstasi serta wang tunai RM500. 

Beliau berkata tiga daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah, serta satu kes dikehendaki bagi siasatan berkaitan kes bunuh, dan menurutnya siasatan mendapati bekalan dadah itu diperolehi daripada kawasan utara negara untuk dibekalkan di pasaran Lembah Klang. 

Azmi berkata keempat-empat ditahan reman tujuh hari sehingga 12 Julai ini bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjatapi. – Bernama, 7 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen