SEKSYEN 5 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597] memperuntukkan pesuruhjaya Suhakam hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas syor perdana menteri.
Pesuruhjaya tersebut hendaklah dilantik dalam kalangan mereka yang mempunyai pengetahuan atau pengalaman praktikal dalam hak asasi manusia. [Seksyen 5 (3)].
Pada 1 Julai 2022, perdana menteri mengumumkan Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan seramai lapan orang pesuruhjaya Suhakam bagi sesi 2022 – 2025.
Beberapa anggota yang baru dilantik ini merupakan pemimpin Umno seperti Hasnal Rezua Merican Habib Merican yang merupakan timbalan ketua Umno Bahagian Selayang dan Nazira Abdul Rahim yang merupakan ketua Wanita Umno Kulim Bandar Baharu.
Pelantikan tanpa merit ini, di mana kedua-dua mereka tidak pernah dikenal mempunyai pengalaman praktikal dalam hak asasi manusia akan memberikan kesan kepada integriti Suhakam sebagai sebuah badan berkanun yang diamanahkan untuk menasihati kerajaan dalam merumuskan perundangan, arahan dan tatacara pentadbiran agar selari dengan prinsip hak asasi manusia.
Sejak awal penubuhannya, Suhakam konsisten dalam menasihati dan menegur kerajaan dalam isu-isu perundangan seperti pemansuhan dan pindaan undang-undang zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan, Sosma, Pota dan lain-lain yang merupakan undang-undang yang digubal dan dipertahankan oleh kerajaan Barisan Nasional dan Umno.
Bolehkah pemimpin Umno yang dilantik ini menegur perdana menteri sekiranya terdapat pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukan oleh kerajaan?
Pelantikan Prof Dr Rahmat Mohamad sebagai pengerusi Suhakam yang baru juga merupakan satu pelantikan kontroversi.
Beliau adalah salah seorang daripada penulis kertas cadangan yang menghalang Malaysia daripada menandatangani Statut Rom walaupun kerajaan Pakatan Harapan dan peguam negara (yang secara perundangannya merupakan penasihat undang-undang kepada kerajaan) menasihati sebaliknya.
Komposisi barisan pesuruhjaya baharu juga tidak mencerminkan kepelbagaian latar belakang sebagaimana yang diperuntukkan oleh Akta Suhakam 1999.
Sekiranya perdana menteri benar-benar jujur dan mahu mempertahankan hak asasi manusia, kenapa tidak dilantik juga pesuruhjaya daripada kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU), Orang Asli serta bilangan yang seimbang antara kaum serta umur?
Jangan jadikan jawatan pesuruhjaya Suhakam sebagai hanya ghanimah perang kepada ahli akademik, peguam dan tokoh masyarakat yang menyokong dan mesra kerajaan tanpa melihat kepada merit mereka.
Pelantikan pesuruhjaya Suhakam haruslah telus, inklusif dan hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar faham dan mempunyai pengalaman praktikal tentang hak asasi manusia.
Pelantikan sambil lewa ini mesti dinilai semula sebelum ia terus mencemarkan status Suhakam sebagai sebuah Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan berstatus “A” dan memalukan Malaysia yang merupakan negara anggota Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – 7 Julai, 2022.
* Salahuddin Ayub, ahli Parlimen Pulai.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen