Mat Kilau, Putin dan praetorianisme


BANYAK ulasan, perbincangan dan komentar membicarakan mengenai filem Mat Kilau sebagai pejuang kemerdekaan.

Komen banyak didorong oleh keinginan untuk melihat bangsa Melayu kembali kepada Islam dan membentuk jati diri sebagai pejuang bangsa dan negara. 

Oleh itu, kalangan pemimpin harus menunaikan amanah dan tanggungjawab dalam mengekalkan kedaulatan dan kemerdekaan negara yang sangat dikehendaki terutamanya dalam situasi sekarang.

Dalan hubungan ini, saya ada membaca sebuah artikel mengenai Presiden Rusia, Vladimir Putin, yang berkisar di sekitar ideologi dan falsafah yang dibawanya ke arah menjadikan Rusia sebuah negara kuasa besar yang berdaulat.

Semasa beliau menjadi presiden menggantikan Boris Yeltsin, (presiden pertama Republik Persekutuan Rusia) setelah tersungkurnya empayar Kesatuan Soviet di pentas bumi, Rusia berada dalam situasi yang tidak menentu.

Banyak wilayah yang di bawah Empayar Kesatuan Soviet mengisytiharkan merdeka seperti pembaca semua ketahui antaranya Ukraine (yang sekarang sedang berperang dengan Rusia), Uzbekistan, Kazakhstan, Estonia dan Latvia.

Pada masa itu Rusia yang cenderung kepada pengaruh liberalisme AS dan sistem demokrasi sedang berada dalam keadaan gawat.

Ramai yang gembira dengan kejatuhan empayar Soviet dan impian ceria hidup di bawah sistem pasaran bebas dan politik demokrasi akhirnya terjaga daripada igauan bahawa semua harus dibeli dan dibayar contohnya tiada lagi sistem kupon, pemberian kupon untuk mendapatkan makanan. 

Maka ramai yang ingin kembali kepada sistem Sosialis kerana kerajaan akan menyuap makan dan minum mereka dan pekerjaan dijamin tanpa pengangguran ketara.

Namun Putin menyelamatkan Rusia, memandunya ke arah  sebuah negara kuasa besar berdaulat.

Awal 2000, warga Rusia menyaksikan pembentukan benteng kukuh diwujudkan mengelilingi sempadan Rusia, yang dikenali sebagai fahaman praetorianisme.

Fahaman ini muncul akibat kemerosotan ekonomi Rusia semasa dekad 90-an dan maruahnya tercabar di dalam dan luar negeri.

Idea asal ialah perkumpulan elit politik negara di sekitar pemimpin baharu mereka, Putin. Setelah menjadi presiden, Putin menegaskan yang beliau menyokong sebagai gerakan mempertahankan aset dan sumber negara dalam menentang kumpulan oligarki kapitalis yang gelojoh kuasa dan mahukan sektor-sektor strategik Rusia dikuasai.

Para pengawal praetorian mula dibentuk di sekitar Kremlin pada 2001 dan terus meninggalkan kesan ke atas struktur elit pemerintah sehingga sekarang. 

Fahaman praetorian mendapat dukungan dan sokongan dalam kalangan elit Rusia.

Ini memandangkan pada penghujung 1990-an kebanyakan kalangan elit Rusia menyedari rakyat Rusia tidak mendapat manfaat daripada bentuk pilihan raya, corak politik dan kepartian yang tidak mewakili rakyat.

Krisis dan kejumudan ini menanti ledakan, sistem politik yang kehilangan legitimasi rakyat mampu mencetuskan pemberontakan, bahkan revolusi terhadap pemimpin. 

Kebimbangan akan kacau bilau, ketidakstabilan merupakan tema yang berulang pada era 90-an. 

Fahaman praetorian merupakan elemen wacana politik yang diketuai Putin.

Patrotisme dan nasionalisme konservatif yang kuat dalam kalangan elit dan rakyat Rusia sekarang dalam berhadapan dengan situasi sekatan ekonomi ke atas Rusia berakar semasa suasana kegawatan yang dialami Rusia pada era 90-an dan rakyat sudah cekal dengan keadaan ini.

Kremlinosentrisme adalah pemerintahan Rusia yang menumpukan kepada pemusatan merupakan komponen kunci kepada evolusi politik yang mengambil tempat di Rusia sejak 2000.

Ia dicirikan oleh pemusatan kuasa dan sumber (pentadbiran, kewangan, bidang strategik) di sekitar institusi ketua kerajaan yang merupakan ketua eksekutif negara. 

Ia tidak juga tertumpu kepada ketua negara sebagai piramid tertinggi dalam institusi kerajaan tetapi kedinamikan dan jiwa nasionalisme tertinggi yang merujuk ke Kremlin sebagai kuasa geopolitik dan simbolik kenegaraan. Trend ini dapat diperhatikan sepanjang dua dekad Putin memerintah dan dikenali dengan Putinisme.

Konsep praetorianisme bukan sesuatu yang baharu ia berada dalam bidang sosiologi politik pada awal 1960-an lagi melalui penulisan ahli sosiologi Perancis,Maurice Duverger.

Jika sesiapa menyedari ia digunakan Samuel Huntington dalam penerbitan artikel pada 1968 mengenai praetorianisme atau lebih konsep negara praeretorian yang berkembang dalam sistem politik yang digabungkan sebagai elemen-elemen demokrasi liberal dengan amalan-amalan berbentuk autoritarian. 

Ahli sosiologi, Charles Wright Mills dalam bukunya Power Elite menamakannya sebagai segitiga kuasa terdiri daripada elit politik dan pentadbiran, elit ekonomi dan kewangan serta elit ketenteraan. 

Lagi ketat sekatan ekonomi ke atas Rusia, yang pelik negara beruang itu masih kukuh dan teguh, pendapatan hasil eksport semakin meningkat. Penutupan restoran makanan segera McDonald digantikan dengan restoran McDonald versi Rusia.

Bukannya Rusia tidak dilanda masalah dan tekanan, banyak wang pelaburan dalam bank-bank di Eropah dibekukan tetapi setiap konflik dan masalah akan ada peluang atau rezeki lain yang terbuka. Sekatan ke atas Rusia daripada negara sekutu Nato membuka pintu perdagangan yang luas ke sebelah Asia. 

Jika diperhatikan negara memerlukan insan seperti Mat Kilau yang merangkumi silat fizikal, rohani, akal dan fikiran. Kita tidak sama dengan Rusia tetapi idea praeretorian itulah yang diperlukan dalam berhadapan dengan situasi mencabar. 

Siapakah kalangan pemimpin dan kumpulan elit nasionalis manakah yang sanggup menjadi pengawal praetorian, penjaga khazanah negara. 

Para praetoria daripada pelbagai bidang kepakaran bangkit menjadi penjaga bidang sumber strategik negara dan penjaga jelata, inilah masanya sesuai.

Mereka dengan segala kemahiran persilatan dalam pelbagai bidang berkilau gemerlapan berkorban demi bangsa dan negara. 

Bekas perdana menteri Dr Mahathir pernah mencubanya dahulu dengan sentralisasi pengukuhan negara di Putrajaya tetapi ia menyeleweng untuk kepentingan kelompok-kelompok dan parti.

Maka yang lahir adalah kronisme, nepotisme, kolusi dan akhirnya kleptokrat. Fenomena penswastaan dan pengkorporotan memarakkan amalan rasuah dalam fikiran, hati dan pancaindera. 

Namun, ini hanya impian sayakah? Mat Kilau kekal di filem, gah di layar perak; sejauh manakah Mat Kilau tersemat dalam sanubari pemimpin Melayu dan bangsa lain dalam mengemudi bahtera bernama Malaysia. Kita kini berhadapan dengan gawat politik, ekonomi, kewangan dan gawat rakyat. 

Malaysia seolah-olah sudah hilang kompas hala tuju dan tiada ketua praetorian dalam mengemudi bahtera terutamanya dalam membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Di samping kalangan pemimpin yang berhadapan dengan kes rasuah, negara sedang berhadapan dengan kalangan pemimpin khianat kepada rakyat dan kebas dan hilang kepekaan dengan kesusahan yang ditanggung rakyat. 

Kenaikan kos sara hidup semakin menjadi-jadi, harga ayam, minyak masak, sayur-sayuran dan barang keperluan asas lain hampir semuanya meningkat pada kadar yang sangat menekan dan membebankan.

Dalam situasi ini Putrajaya masih kabur tanpa penyelesaian yang konkrit. Di manakah praetoria  jiwa dan semangat Mat Kilau di Putrajaya? – 7 Julai, 2022.

* Ismail Hashim, pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen