Mesir buka lintasan di sempadan Rafah selama 4 hari


Rakyat Palestin menunggu untuk menyeberangi sempadan ke Mesir di Rafah pada 7 Februari. – Gambar EPA, 21 Februari, 2018.

MESIR memutuskan untuk membuka lintasan di sempadan Rafah yang menghubungkan Semenanjung Gaza dengan dunia luar selama empat hari, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Kedutaan Palestin di Kaherah pada Selasa.

“Lintasan di sempadan Rafah akan dibuka selama empat hari mulai Rabu dan berakhir pada Sabtu, bagi membolehkan rakyat Palestin melakukan perjalanan pergi dan balik di kedua-dua arah,” menurut kenyataan itu.

Ini merupakan kali kedua Mesir membuka sempadan Rafah pada 2018.

Kali pertama, lintasan di sempadan itu dibuka selama tiga hari mulai 7 Februari yang menyaksikan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, menyeberanginya untuk ke Kaherah bagi berunding dengan para pegawai Mesir.

Mesir membuka sempadan itu selama beberapa hari setiap bulan untuk pelancong terkandas, termasuk pesakit Palestin yang mencari rawatan di luar negara, pelajar yang menyambung pengajian di luar negara, orang yang memiliki permit kerja, orang yang memiliki saudara di luar Gaza dan penduduk Palestin dengan pasport asing.

Semenanjung Gaza mempunyai tiga lintasan di sempadan utama yang menghubungkannya dengan dunia luar.

Israel mengawal dua daripadanya, satu untuk pergerakan orang awam dan satu lagi untuk aktiviti komersial.

Mesir pula mengawal lintasan di sempadan Rafah. – Bernama, 21 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen