Minyak masak kitar semula kembali popular, kata peniaga


Angie Tan

Kerajaan menamatkan subsidi minyak masak dalam botol berkuat kuasa 1 Julai yang menyebabkan kenaikan harga sebanyak lebih 40%. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2022.

MINYAK masak terpakai atau sudah dikitar semula kembali menjadi pilihan susulan keputusan kerajaan membatalkan subsidi, kata pakar industri.

Mereka berkata harga minyak terpakai yang dikitar semula, yang sedikit lebih rendah berbanding minyak masak botol, menjadi pilihan peniaga yang menggunakan jumlah minyak yang tinggi dalam perniagaan mereka.

Bagaimanapun, ia tidak digunakan secara meluas buat masa ini kerana kebanyakan pemilik perniagaan mengambil berat tentang kesihatan pelanggan, kata mereka.

Boon Kok Choong, ketua aduan persatuan Peniaga Kecil Selangor dan Kuala Lumpur, berkata bukan perkara baru bagi peniaga membeli minyak terpakai tetapi ia lebih berleluasa sekarang.

Beliau bimbang dengan pembatalan subsidi itu, minyak masak terpakai kini akan membanjiri pasaran.

“Saya mengusahakan sebuah restoran dan tidak lama dahulu seseorang mendekati saya untuk membeli minyak terpakai,” kata Boon.

“Ia jauh lebih murah iaitu RM7 hingga RM8 bagi 5kg minyak terpakai. Tetapi di restoran, kami sentiasa menukar minyak. Adalah tidak sihat menggunakan semula minyak itu.”

Boon berkata jika ada peniaga yang ingin membeli minyak terpakai mereka mesti berwaspada dan memastikan ia datang daripada sumber yang betul.

“Kita tidak tahu sama ada minyak itu dibersihkan atau ditapis. Saya harap peniaga menjauhinya,” kata Boon.

Kerajaan menamatkan subsidi minyak masak dalam botol berkuat kuasa 1 Julai. Bagaimanapun subsidi kekal untuk beg poli 1kg.

Subsidi minyak masak botol 1kg, 2kg, 3kg dan 5kg pada mulanya diperkenalkan pada Ogos 2021 dan sepatutnya hanya untuk tiga bulan.

Tahun ini, kerajaan membelanjakan RM4 bilion subsidi minyak masak berbanding RM500 juta pada 2020 dan RM2.2 bilion pada 2021.

Lim Suai Chai, pengerusi Persatuan Penjaja Pasar Malam Kuala Lumpur berkata pemansuhan subsidi hanya akan memberi kesan kepada mereka yang menggunakan banyak minyak untuk penyediaan makanan seperti mereka penjual ayam goreng dan kuih goreng udang.

“Penjual buah-buahan sebagai contoh tidak akan terjejas dan menghadapi tekanan daripada penghapusan subsidi,” kata Lim.

Ketika ditanya sama ada mana-mana ahlinya membeli minyak terpakai, Lim berkata terdapat beberapa yang membeli tetapi majoritinya tidak.

“Terdapat perbezaan rasa apabila anda menggoreng menggunakan minyak terpakai.”

Presiden Persatuan Dapur Johor Ang Swee Kiong berkata penghapusan subsidi itu memberi tekanan kepada pemilik restoran.

“Bahan mentah mahal, sekarang kita tidak ada subsidi minyak. Kami mungkin terpaksa menaikkan harga semula,” kata Ang.

Walaupun beliau mendengar tentang perniagaan membeli minyak terpakai, Ang berkata restoran Cina biasanya tidak akan melakukannya.

“Restoran Cina tidak akan membelinya kerana reputasi sangat penting. Sesetengah pelanggan juga mungkin bertanya kepada kami minyak apa yang digunakan.

“Bagaimanapun, sesetengah restoran mungkin beralih kepada minyak terpakai untuk mengurangkan kos.” – 8 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen