Bukan semua peniaga Petaling Street jual produk tiruan


Liow Sze Xian

Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur menepis dakwaan pemimpin Umno yang perniagaan di sana merosot disebabkan banyak menjual barangan tiruan dan kehadiran pekerja asing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Februari, 2018.

PERSATUAN Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur menyelar pemimpin Umno Bukit Bintang kerana menyamakan semua peniaga di Petaling Street dengan menuduh mereka menjual produk tiruan.

Pengerusi persatuan itu, Ang Say Tee juga mencabar pemimpin Umno Bukit Bintang Zainal Rafique agar melawat Petaling Street, atau lebih dikenali sebagai Chinatown, untuk melihat sendiri perniagaan yang dijalankan di sana.

Kemarahan Ang terhadap Zainal berlaku selepas pemimpin Umno itu mengatakan perniagaan merudum di Petaling Street kerana barangan yang dijual di sana adalah tiruan, dan kemasukan pekerja asing.

Respons Zainal itu susulan kenyataan para peniaga yang mengatakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menjadi punca utama mengapa perniagaan di kawasan itu merosot.

Menepis kenyataan Zainal, Ang berkata tidak semua peniaga di Petaling Street menjual barangan tiruan, menegaskan kebanyakan peniaga terkesan dengan GST.

“Hanya 20% daripada mereka menjual barang dan produk tiruan, mereka adalah kambing hitam. Baki 80% tidak (menjual produk tiruan).

“Zainal Rafique menyamakan peniaga di Petaling Street. Kenyataannya berat sebelah dan ia menimbulkan persepsi salah yang semua pedagang Petaling Street menjual barangan tiruan.

“Gambaran yang diberikannya kepada orang awam adalah palsu, tidak adil kepada vendor dan peniaga.”

Ang kemudian menjemput Zainal melawat Petaling Street untuk melihat sendiri keadaan di sana.

“Beliau akan menyedari ramai daripada mereka adalah perniagaan tradisional seperti penjaja ... apakah mereka peniaga barangan palsu juga?”

“Terdapat barangan palsu di mana-mana, kita ada di (Plaza) Sungei Wang juga ... adakah anda mengatakan penurunan jualan disebabkan barangan tiruan juga?”

Pemimpin Umno Bukit Bintang, Zainal Rafique semalam menafikan penurunan jualan disebabkan oleh GST, menyalahkan kemasukan pekerja asing dan barangan tiruan.

“Mereka juga lebih suka mengambil pekerja asing daripada rakyat Malaysia sendiri bekerja di situ sehingga menyebabkan Petaling Street berubah wajah kepada pasar malam warga asing.”

“Pekerja asing tidak sopan kepada pelanggan mereka dan ini menyebabkan kehilangan pelanggan.”

Zainal turut mempersoalkan sekiranya peniaga yang menjual barangan tiruan membayar GST.

Ang berkata kerajaan harus menumpukan perhatian untuk menyelesaikan masalah dihadapi oleh rakyat bukan hanya untuk menjatuhkan komen.

Ang memberitahu Free Malaysia Today yang 10% perniagaan di Petaling Street ditutup sejak pelaksanaan GST pada 2015.

“Bagaimanapun, pelanggan kami mengatakan gaji mereka masih sama dan kerana itu, mereka berhati-hati dalam berbelanja,” katanya.

“Lihatlah, tidak ada ramai orang. Beberapa tahun lalu, ia begitu ramai sehingga orang tidak dapat berjalan di sini. ” – 21 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen